Anak wakil rakyat cemerlang SMTQ, STUP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Anak anggota Exco kerajaan negeri dan Ahli Parlimen muncul antara pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) dan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP).

- Advertisement -

Anak Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Mujiburrahman mendapat Mumtaz peperiksaan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran. (Foto atas)

Tuan Mohd Al-Syafie Tuan Mohd Saripuddin pula mumtaz peperiksaan Sijil Tinggi Ugama Pondok. Beliau merupakan anak Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Beliau belajar di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan di Kandis, Bachok.

Mereka merupakan antara 17 pelajar terbaik 10 Mumtaz dari sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Mujiburrahman ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas keputusan berkenaan walaupun peringkat awal tidak menyangka akan memperolehi keputusan cemerlang.

Beliau berkata, antara perkara yang sering dilakukan sepanjang mengikuti pengajian di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, tumpuan lebih diberi dalam kelas.

“Bagi saya menumpukan perhatian dalam kelas lebih baik dan berkesan ketika belajar berbanding mengulang kaji sendiri di luar kelas.

“Ayah juga selalu bertanya tentang perkembangan pelajaran dan sering pesan rajin baca al Quran dan menghafal kerana ia penting sebagai seorang pelajar tahfiz,” katanya.

Ahmad Fadhli pula menyifatkan kejayaan anaknya hasil dorongan dan didikan isterinya Nor Yani Mohd Salleh.

Kata beliau isterinya banyak menjaga anak-anak termasuk Mujiburrahman terutama ketika menghadapi peperiksaan.

Menurutnya juga pencapaian semakin meningkat setiap tahun sekolah YIK dalam setiap peperiksaan membuktikan sistem pengajiannya sangat komprehensif dan menjamin masa depan pelajar.

Tuan Mohd Al-Syafie pula menjadikan ayahnya sebagai idola untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan STUP.

Menurutnya, ayahnya juga pernah belajar di Pondok Kandis sebelum ini dijadikan contoh untuk bangkit berjuang bagi mencapai kecemerlangan.

“Masih ada lagi guru yang mengajar ayah saya di sini sebelum ini dan mereka menceritakan kelebihan dan akhlak ayah sewaktu belajar di Pondok Kandis,” katanya.

Menurutnya juga walaupun ayahnya sibuk dengan urusan kerajaan dan parti setiap hari, namun sering mengingatkannya berkaitan al Quran dan solat berjemaah. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -