Wajarkah tuntutan kerajaan Johor mahu 30% hasil kutipan negeri?

Muhammad Fathi Yusof
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tuntutan kerajaan Johor untuk mendapatkan 30 peratus hasil kutipan dalam negeri dapat menggambarkan hasrat negeri yang mengalami kekangan dalam pengurusan kewangan.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, kesungguhan sesebuah kerajaan negeri untuk memajukan negeri sehingga mewujudkan kepesatan ekonomi dan meningkatkan hasil negara seolah-olah tidak dihargai melalui ganjaran yang setimpal.  

- Advertisement -

“Maka, mekanisme pemberian pulangan dari hasil cukai korporat dan cukai pendapatan kepada negeri boleh dijadikan dorongan kepada kerajaan negeri untuk menggiatkan pembangunan ekonomi negeri. 

“Namun, kaedah ini hanya dapat dilaksanakan melalui pindaan Perlembagaan,” katanya. 

Menurutnya, kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri melalui Majlis Kewangan Negara yang diberi peranan oleh Perkara 108 Perlembagaan sewajarnya membincangkan secara serius penyusunan semula hasil kewangan negeri. 

Tambah beliau, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail telah menitahkan bahawa ia wajar menjadi pemangkin kepada usaha yang sudah lama tertangguh dan diabaikan ini. 

Tegas Prof Fathi menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, antara perkara yang perlu dipertimbangkan secara serius adalah pertamanya, mewujudkan pemberian tetap khusus untuk pengurusan air kepada negeri-negeri sebagaimana wujudnya pemberian khusus untuk jalan negeri.

“Pemberian untuk pengurusan air ini perlu dirangka berasaskan formula yang adil dengan mengambil kira saiz negeri dan jumlah penduduk.

“Adalah diharapkan pemberian tetap ini dapat meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air bersih kepada rakyat,” katanya.

Kedua, ujar beliau, kadar pemberian kepada negeri mengikut bilangan penduduk perlu ditingkatkan dan perlunya satu formula kenaikan tetap tanpa bergantung kepada pindaan Perlembagaan, kerana ia merupakan peruntukan yang paling asas yang wajib diberikan oleh kerajaan Persekutuan.

“Sebenarnya, pemberian ini juga berasaskan semangat bahawa negeri telah memberikan kuasa percukaian secara umum kepada kerajaan Persekutuan ketika Persekutuan Tanah Melayu dibentuk sewaktu merdeka.

“Maka, kuasa yang diberikan itu perlu dibalas dengan pemberian wajib ini,” hujahnya.

Ketiga, menurutnya, mewujudkan pemberian khas berasaskan jumlah cukai pendapatan dan cukai korporat yang dikutip dalam sesebuah negeri sebagai satu insentif kepada kerajaan negeri yang memajukan ekonomi negeri. 

“Kaedah dan pelaksanaan pemberian ini perlu telus dan adil berasaskan prinsip Perlembagaan,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan kerajaan Persekutuan perlu bertindak segera bagi menangani keprihatinan Pemangku Sultan Johor yang juga mungkin mewakili hasrat Raja-Raja Melayu yang mengharapkan kesaksamaan dalam amalan sistem persekutuan. 

“Kegagalan kerajaan Persekutuan menangani persoalan penting ini hanya meningkatkan semangat kenegerian yang mempunyai impak negatif jika ia mencetus kebencian dan perpecahan.

“Kita inginkan Malaysia menjadi sebuah negara yang kukuh dan bersatu padu dalam kepelbagaian pentadbiran di peringkat negeri,” katanya. 

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail pada Ahad dilaporkan telah mencadangkan Johor untuk mewujudkan Gabungan Bangsa Johor supaya sentimen politik dan kepentingan negeri diputuskan oleh rakyat Johor dan bukan orang luar.

Baginda turut bertitah, Gabungan Bangsa Johor itu boleh memperbaiki sistem dalam negeri demi kepentingan kehidupan generasi akan datang supaya lebih terpelihara. –HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -