Tidak masuk akal Sabah, Sarawak dikecualikan

Tarik subsidi diesel: Semenanjung dihukum?

- Advertisement -

KERAJAAN sudahpun memulakan penarikan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia berkuatkuasa Isnin, 10 Jun. Jika kita meneliti daripada pengumuman-pengumuman dibuat oleh kerajaan, kita boleh menyimpulkan penyasaran ini dibuat ialah untuk mengelakkan daripada mereka yang tidak layak seperti golongan mahakaya dan warga asing daripada menikmati subsidi ini. 

- Advertisement -

Kerajaan juga mendakwa bahawa pihak mereka sudah tidak tertanggung lagi jumlah subsidi sedia ada yang dikatakan menjadi beban pada negara. Kata kerajaan, penjimatan yang terhasil daripada subsidi tersebut akan dipulangkan kepada rakyat.

Pada dasarnya penyasaran subsidi adalah sesuatu yang perlu dilakukan memandangkan mereka yang mahakaya dan juga warga asing tidak sewajar menerima subsidi. Wang itu sepatutnya digunakan untuk keperluan rakyat yang kurang berkemampuan.

Berdasarkan maklumat kerajaan, rakyat yang layak secara automatik menerima subsidi akan menerima ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0. Selain itu pemilik kenderaan persendirian yang bukan dari golongan mahakaya dan warga asing boleh memohon pengecualian dalam sistem BUDI.

Sungguh pun begitu, adalah sesuatu yang pelik apabila Sabah dan Sarawak pula dikecualikan daripada perubahan besar ini sedangkan dua wilayah itu dikatakan mempunyai penggunaan kenderaan diesel yang meluas.

Sebagai pengguna terbesar, Sabah dan Sarawak sepatutnya menjadi lokasi sasaran utama untuk pengenalan subsidi bersasar ini kerana kerajaan menanggung beban yang besar akibat subsidi diesel. 

Tetapi peliknya, penggunaan kenderaan diesel yang meluas itu pula menjadi alasan mengapa Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada pelaksanaan polisi ini. Ia membawa kepada pelbagai persoalan baru. Bagaikan ada yang tak kena dengan keputusan dibuat kerajaan itu.

Pertama, adakah tidak ada golongan mahakaya dan warga asing yang tinggal di Sabah Sarawak? Sudah pasti ada. Mustahil tidak ada. Jika dikatakan penggunaan kenderaan diesel meluas di sana bermakna golongan mahakaya dan warga asing di sana juga menggunakan kenderaan diesel. 

Kedua adakah dengan melaksanakan perkara ini kerajaan akan menanggung kos yang tinggi kerana meluasnya penggunaan kenderaan diesel di situ? Sepatutnya tidak. 

Tujuan subsidi disasarkan memang untuk mengurangkan beban kerajaan. Penyasaran subsidi akan mengurangkan jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan. Jadi sepatutnya lebih banyak penjimatan yang boleh dibuat oleh kerajaan dengan melaksanakannya di Sabah dan Sarawak.

Ketiga adakah kerajaan bimbang dengan penyasaran subsidi ini akan memberikan kesan kenaikan kos kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang akhirnya akan menyebabkan mereka marah? Juga sepatutnya tidak.

Ini adalah kerana mengikut apa yang didakwa pihak kerajaan, dalam sistem yang dibentuk oleh mereka, mana-mana rakyat yang bukan dari golongan mahakaya dan warga asing mereka sewajarnya masih menikmati subsidi melalui ‘fleet card’ dan sistem BUDI. 

Jadi sepatutnya tiada isu kenaikan kos kepada rakyat biasa. Sepatutnya yang meningkat kosnya ialah golongan mahakaya dan warga asing sahaja.

Kerana itu tindakan kerajaan tidak melaksanakannya di Sabah dan Sarawak adalah sesuatu yang pelik. Adakah kerana kerajaan sendiri tahu bahawa memang ada yang tidak kena dengan sistem yang telah mereka cipta ini?

Dalam ertikata lain, kemungkinan sistem yang dibuat oleh kerajaan ini sebenarnya bukan benar-benar untuk memastikan subsidi tidak dinikmati oleh golongan mahakaya dan warga asing. 

Mungkin ada banyak ruang yang mana rakyat biasa masih terpaksa menanggung kenaikan kos akibat pengenalan subsidi bersasar ini kendatipun kerajaan mendakwa ia hanya melibatkan golongan mahakaya dan warga asing sahaja.

Jika itu realitinya maka kita akan lihat kesan berantai terhadap tindakan kerajaan ini secara lebih ketara dalam tempoh satu tahun dari sekarang. 

Ia juga menimbulkan tanda tanya adakah kerajaan sebenarnya tahu bahawa sistem yang mereka wujudkan ini akan memberi kesan yang buruk dan membebankan rakyat biasa. 

Jadi ia tidak sekadar mengelakkan subsidi dinikmati golongan mahakaya dan warga asing semata-mata, tetapi rakyat biasa juga akan terkesan.

Jika ini berlaku, maka ia akan menyebabkan rakyat marah. Kemarahan rakyat Sabah dan Sarawak pula membahayakan Kerajaan Madani kerana Sabah dan Sarawak masing-masing akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada selewat-lewatnya September 2025 dan Disember 2026. 

Adakah Kerajaan Madani sanggup membuat keputusan yang merugikan negara semata-mata kerana faktor politik? Jika itu yang berlaku, amat malang negara ini mempunyai pemimpin yang mengutamakan keuntungan politik berbanding keuntungan pada negara. – HARAKAHDAILY 12/6/2024 

- Advertisement -