Lelongan MOF tiada kaitan kerajaan negeri

Projek pusat peranginan di Kampung Tok Senik, Langkawi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan, kerajaan negeri tidak terlibat dengan keputusan lelongan projek pusat peranginan di Kampung Tok Senik, Langkawi.

- Advertisement -

Katanya, lelongan itu adalah keputusan Kementerian Kewangan (MOF) yang didakwa menanggung kerugian sebanyak RM250 juta.

“Kemungkinan projek itu dibangunkan pihak swasta di atas tanah milik Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) kemudian menghadapi masalah. Saya sendiri pun tak ada maklumat berkenaan keputusan melelong ini, hanya tahu melalui laporan berita.

“Kerajaan negeri juga tiada kaitan. Mungkin projek swasta di bawah MOF kerana LADA tak buat projek,” jelasnya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Sanusi yang juga Pengerusi Bersama LADA memaklumkan, terdapat banyak projek MOF di Langkawi bermasalah dan proses pemutihan sedang dilakukan bagi menyelamatkannya.

Malah katanya, ketika mula memegang jawatan tersebut, beliau meneliti projek-projek yang diberi kelulusan sebelum ini termasuk projek pembangunan Hotel St Regis di Langkawi yang didapati bermasalah kerana membabitkan isu berkaitan hak milik tanah.

“Apabila geran tak ada, projek terbengkalai, ada yang nilainya beratus ribu. Ada juga buat projek atas rizab sungai. Jadi saya kata kena buat pemutihan melalui pemberian geran, baru kerajaan dapat bagi peruntukan untuk baik pulih,” tambah beliau.

Mengulas lanjut MOF katanya, diharapkan dapat memberi maklumat berkaitan tindakan melelong Perkampungan Tok Senik yang diumumkan. – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -