PBAKL 2024: Halaman yang tertulis kosong

- Advertisement -

JIWA ulat buku ini meronta-meronta ingin bertandang ke sana setiap kali ia muncul saban tahun. Ibarat syurga dunia buat para pencinta penulisan dan segala yang berkaitan dengannya. Melihat pelbagai judul buku dengan genre berbeza tersusun cantik sahaja sudah cukup untuk membuat jiwa ini menari-menari, lebih lagi untuk merasainya sendiri. Apakan daya, masih belum direzekikan sejak diri ini mengenal dunia. Kosong.

- Advertisement -

Minggu lepas berakhir sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang berlangsung dari 24 Mei hingga 2 Jun di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL). Pencinta buku yang baru berjinak-jinak ini hanya mampu melihatnya di kaca skrin sejak hari pertama pesta lagi. Hari demi hari menyaksikan keseronokan pengunjung ke situ, anak mata ini terhenti pada gambar suasana padat. Penuh dengan anak muda muslimah beratur untuk sesi meet and greet bersama penulis buku terkenal. Galau.

Hati mula berbisik, “Ya Rabb, syukur Alhamdulillah.. kalau macam ni la ramai dia, takpa la tak dapat pergi pun.”  – pencinta buku suasana damai.

Lalu pelbagai persoalan timbul. Mereka ramai-ramai datang tu sebab apa ya? Nak beli buku ke nak jumpa penulis dia? Memang suka baca buku ke suka penulis semata? Mereka suka baca buku apa ya? Buku fiksyen? Novel? Komik? Buku healing? Buku ilmiah dan motivasi masih dibaca? Atau sebenarnya dari novel dan buku healing itu mereka dapat sesuatu lalu termotivasi?

Segala persoalan ini cuba dirungkai dengan memerhati moment dan feedback pengunjung dari PBAKL tempoh hari. Dari pemerhatian si ulat buku newbie ini, ia boleh dilihat dari dua sisi iaitu sisi pembaca dan penulis.

Sisi Pembaca: Seperti seorang penonton drama atau filem, buku juga merupakan satu medium untuk berhibur atau mengutip nilai. Sama ada menonton cerita bergenre aksi, romantis, seram, thriller, komedi, ilmiah dan sebagainya, begitu juga dengan buku. Satu penulisan oleh pelayar sosial media mengatakan tsunami novel melanda pada PBAKL lalu. Peminat-peminat novel sanggup beratur dari awal pagi sebelum pesta buku dibuka, malah sanggup beratur panjang untuk membeli novel dan mendapatkan autograf penulis. Jika dilihat dari sosial media yang lain juga, hal ini memang benar berlaku.

Pembaca seolah-olah tenggelam dalam ceritera rekaan dan imaginasi yang dicipta oleh penulis. Sehinggakan watak-watak yang diwujudkan berjaya mengawal minda dan akhirnya penuh koleksi novel yang bersambung-sambung seperti episod drama. Datang dengan membawa bagasi kosong dan akhirnya pulang dengan bagasi penuh berisi barisan novel dengan pelbagai judul estetik dan misteri.

Bukan sahaja novel, kemunculan buku healing marcapada ini juga menjadi rebutan pembaca. Buku healing atau sebenarnya buku kata-kata motivasi pada asalnya, semakin diminati oleh para pembaca yang ingin sembuh dan bertumbuh. Kata-kata pendek tapi sampai ke hati itu seolah menjadi penawar buat mereka yang sedang diuji. Satu kata penuh makna, merungkai galau yang tersembunyi sepi.

Di sebalik tumbuhnya novel dan buku healing seperti cendawan selepas hujan itu, dikatakan buku-buku ilmiah masih berbisa. Buku biografi agung dan sunnah Rasulullah SAW masih mendapat sambutan dan peningkatan jualan. Reruai buku-buku sirah, sejarah dan agama masih dicari oleh pengunjung. Tenang dalam ribut.

Sisi Penulis: Seperti seorang penulis skrip drama atau filem yang memuntahkan apa sahaja yang ada dalam kepala dan jiwa; menjadi satu idea untuk diolah ke layar perak. Maka, segala yang ada di dalam kepala penulis juga diolah sama ada dalam bentuk kisah benar mahupun fiksyen. Ramai penulis yang menoktahkan kisah sendiri di dalam buku untuk dijadikan pedoman dan inspirasi. Menyingkap pahit maung perjalanan hidup khas buat tatapan pembaca yang mungkin punya kisah hampir sama.

Ada juga penulis mengeloh cerita dalam bentuk fiksyen yang dinanti pengakhirannya, gembira atau berduka? Hidup atau mati? Ada juga yang menukil idea dan pandangan berkaitan sesuatu topik dengan penuh berbahasan ilmiah. Ditambah dalil berkaitan bagi mengukuhkan satu idea dan ilmu.

Bagi menghargai peminat karya-karya mereka pula, penulis-penulis ini hadir untuk bertemu mata dengan mengadakan sesi meet and greet. Sanggup tunggu berjam-jam di meja penulis untuk memberi autograf serta kata-kata khas buat peminat. Bersedia dengan bidikan kamera untuk merakam memori indah bersama peminat. Penulis-penulis ini memainkan peranan penting dalam menunjukkan sikap yang baik. Adab dan akhlak yang ditunjukkan menjadi salah satu sebab penulis semakin popular dan diminati. Indah dalam resah.

Maka dari dua di sisi ini dapat disimpulkan bahawa; bagaimana pembaca begitulah penulisnya. Bagaimana penulis, begitulah pembacanya. Gabung jalin antara keduanya akan membina peradaban sesebuah negara.

PBAKL telah berjaya memberi watak masyarakat terutama kepada generasi muda kerana pesta buku adalah pesta anak muda. Minat membaca dalam kalangan anak muda semakin meningkat, dengan bukti peningkatan peratus jualan buku di PBAKL mahupun jualan atas talian. Rata-ratanya adalah dari penjualan novel. Adakah ini satu fenomena yang baik?

Apapun, teruslah menjadi bangsa membaca. InsyaAllah kita akan menjadi bangsa berjaya. Paling penting harus diingat, seperti lagu, filem dan drama, pembacaan juga ada pensyariatannya. Pilihan dan tapisan di tangan kita kerana ilmu Allah SWT itu terlalu luas hendaknya.

قُلْ لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمٰتِ رَبِّيْ لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ اَنْ تَنْفَدَ كَلِمٰتُ رَبِّيْ وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهٖ مَدَدًا
“Katakanlah (Muhammad), “Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).”
(al-Kahfi: 109)

SAFIYYA
Pahang Darul Makmur – HARAKAHDAILY 12/6/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -