PAS wakil calon PN PRK DUN Sungai Bakap

Muhyiddin (tengah) dalam sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur pada 11 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan calon daripada PAS akan mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai depan, dan calonnya akan diumumkan 15 Jun ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PN sudah menubuhkan jawatankuasa untuk pilihan raya di peringkat Pusat dan negeri, sambil menegaskan bahawa jentera gabungan itu sudah bersedia untuk bekerja demi kemenangan PN.

- Advertisement -

“Penyandang yang meninggal dunia adalah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) PAS, jadi kita akan kekalkan begitu. Kerusi itu adalah kerusi PAS.

“Kita akan umumkan calon pada Sabtu, 15 Jun ini. Selepas itu, calon akan diberikan watikah untuk bertanding di bawah Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di ibu pejabat gabungan politik itu, di sini, lewat malam tadi.

Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad; Naib Presiden Bersatu, Dr. Radzi Jidin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.

“Pihak lain akan turun padang untuk membantu. Kami mempunyai Presiden Gerakan dan Presiden MIPP di sini bersama saya; dan sudah tentu juga akan berada di sana (di Sungai Bakap) sebagai jentera.

“Jadi, kami akan turun padang untuk mendapatkan sokongan pengundi. Kami harap semua pengundi di Sungai Bakap akan terus menyokong calon Perikatan Nasional kami,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap dan 22 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan penyandangnya,  Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. -HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -