Naib Presiden, bekas wanita pertama Malawi terkorban

Saulos Chilima (kanan) dan Shanil Dzimbiri antara 10 orang yang terkorban dalam nahas pesawat yang dilaporkan hilang dari radar pada Isnin, 10 Jun 2024. (FOTO: Facebook/Malawi Voice)
- Advertisement -

LILONGWE: Naib Presiden Malawi, Saulos Chilima dan bekas wanita pertama, Shanil Dzimbiri, antara 10 orang yang dilaporkan terkorban dalam dalam nahas pesawat yang dilaporkan hilang dari radar pada Isnin (10 Jun) lalu.

Presiden Malawi, Lazarus Chakwera dalam kenyataannya mengesahkan perkara tersebut selepas skuad penyelamat dan pencari menemui serpihan pesawat itu di dalam hutan yang diselubungi kabus.

Serpihan pesawat tentera itu ditemui pada semalam, Selasa (11 Jun) di kawasan pergunungan di utara negara itu, sehari selepas ia hilang dalam cuaca buruk. 

- Advertisement -

“Pasukan mencari dan menyelamat telah menemui pesawat itu … musnah sepenuhnya tanpa terselamat, kerana semua penumpang di dalamnya terbunuh akibat hentaman,” kata Chakwera dalam ucapan di televisyen rasmi negara itu.

“Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa menyayat hati ini,” tambahnya, menyebut nahas itu sebagai suatu ‘tragedi yang dahsyat.

Tujuh penumpang termasuk Chilima dan Dzimbiri, yang berkahwin dengan mantan Presiden Bakili Muluzi, serta tiga anak kapal tentera berada di dalam pesawat malang itu. 

Kumpulan itu menuju ke bandar utara Mzuzu untuk menghadiri pengebumian seorang bekas menteri kehakiman.

Pesawat itu meninggalkan ibu negara, Lilongwe, pada kira-kira jam 9 pagi (07:00 GMT) pada Isnin tetapi gagal membuat pendaratan yang dijadualkan di lapangan terbang antarabangsa Mzuzu kira-kira 370 kilometer (230 batu) ke utara negara itu, kira-kira 45 minit kemudian.

Serpihan pesawat tentera yang dinaiki Saulos Chilima dan Shanil Dzimbiri ditemui di kawasan pergunungan, bahagian utara Malawi pada Selasa, 11 Jun 2024. (FOTO: Skynews)

“Ketika pesawat menghampiri Mzuzu, menara kawalan di sana  memberitahu pesawat itu tidak boleh mendarat kerana cuaca buruk dan ia sepatutnya berpatah balik dan kembali ke Lilongwe,” lapor Al Jazeera dari luar kediaman Chilima, di sini.

“Selepas itu pesawat itu hilang daripada radar dan komunikasi terputus yang membawa kepada pencarian bermula,” tambah laporan itu, sambil menyatakan bahawa penyelamat menghadapi cabaran besar kerana jarak penglihatan yang lemah dan kawasan terpencil di mana pesawat itu hilang.

Mayat kesemua mangsa nahas pesawat itu  dibawa ke Lilongwe dengan pesawat tentera pada petang Selasa dan urusan pengebumian akan diumumkan kemudian.

Sementara agensi berita AFP melaporkan bahawa gambar yang dikongsi oleh anggota pasukan penyelamat tentera menunjukkan anggota tentera berdiri di cerun berkabus berhampiran serpihan yang mempunyai nombor pendaftaran pesawat Dornier 228-202K yang dikendalikan oleh Malawi Army Air Wing.

Saulos Chilima (kiri) bersalam dengan pegawai kerajaan Malawi dalam gambar fail yang dirakam pada 9 Jun 2024, sehari sebelum nahas pesawat yang dinaikinya bersama sembilan yang lain. (FOTP: AP)

Naib presiden yang pertama kali dilantik pada 2014, Chilima ialah seorang tokoh yang disayangi ramai di Malawi, terutamanya dalam kalangan orang muda.

Pada pilihan raya 2019, Chakwera telah bertanding sebagai calon presiden untuk Parti Kongres Malawi, dan Chilima untuk saingan Gerakan Transformasi Bersatu.

Kedua-duanya kalah, tetapi undian itu dibatalkan kerana penyelewengan pengundian dan apabila pilihan raya baharu diadakan pada Jun 2020, pasangan itu berkempen dan menang sebagai pasangan calon presiden dan naib presiden.

Namun, pada 2022, Chilima telah dilucutkan kuasanya selepas ditangkap dan didakwa atas tuduhan rasuah berhubung skandal rasuah yang melibatkan ahli perniagaan British-Malawia. Chilima menafikan salah laku dan bulan lalu, mahkamah membatalkan pertuduhan dan dia meneruskan tugas rasminya.

“Saulos Chilima merupakan seorang lelaki yang baik, seorang bapa dan suami yang setia, seorang warganegara patriotik yang berkhidmat untuk negaranya dengan cemerlang dan seorang naib presiden yang hebat,” kata Chakwera. 

“Saya menganggapnya sebagai satu penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk memilikinya sebagai timbalan dan kaunselor saya selama empat tahun yang lalu,” ucapnya lagi.

Peta menunjukkan pesawat tentera yang menerbangkan Saulos Chilima (kiri) dari Lilongwe pada Isnin, 10 Jun 2024 gagal tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Mzuzu, Malawi. (FOTO: NBC.Montana)

Sementara itu, ucapan takziah mencurah-curah dari seluruh dunia dengan Kesatuan Afrika, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan lain-lain menyatakan kesedihan atas berita  mengejutkan tersebut.

“Saya amat terkejut dan saya berkabung. Saulos seperti anak kepada saya,” kata bekas Presiden Joyce Banda kepada AFP.

“Negara ini telah kehilangan seorang genius; kita telah kehilangan seorang juara yang pakar dalam perdagangan dan industri; dan dia adalah seorang yang percaya bahawa sektor swasta adalah enjin pertumbuhan ekonomi negara.

“Malang bagi saya, saya juga perlu bersikap peribadi, kerana dia seperti anak saya,” katanya.

Ia bukan kejadian pertama membabitkan nahas pesawat pimpinan tertinggi sesebuah negara kerana ia segera mengingatkan kepada tragedi pada 10 Mei 2024, yang menyaksikan Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di barat laut Iran.

Selain Raisi dan Abdollahian turut berada dalam helikopter tersebut ialah Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati dan Imam Solat Jumaat di wilayah Tabriz, Hojjatoleslam Al Hashem. – Agensi-HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -