Kerajaan-swasta tingkat kerjasama kebolehpasaran graduan

- Advertisement -

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Talentbank menganjurkan Karnival Kerjaya Northern Industrial Career Engagement (NICE) 2024 untuk menangani isu kebolehpasaran graduan.

- Advertisement -

Bertujuan meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran graduan melalui kerjasama antara sektor kerajaan, swasta, pemain industri, dan institusi pendidikan, acara berlangsung di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra di sini selama dua hari.

Ahli Lembaga Pengarah UniMAP, Azihani Dato Ali, berkata, UniMAP komited memastikan siswa dan graduan mereka menerima latihan terbaik agar memperoleh pekerjaan bergaji premium.

Beliau menekankan kepentingan kerjasama antara sektor kerajaan, sektor swasta, industri dan institusi pendidikan untuk mengembangkan sumber manusia berkualiti, terutama di kawasan utara.

“Platform seperti karnival kerjaya, sesi dialog antara industri dan akademia serta kolaborasi program seperti yang diadakan dua hari ini harus dilaksanakan secara berkala,” katanya semasa merasmikan NICE 2024, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Ts Dr Mohd Shukry Abd Majid; Pengarah Pusat Kebolehpasaraan Graduan Keusahawanan (CGEE), Prof Madya Dr Mohd Najmuddin Mohd Hassan dan wakil-wakil industri.

Sementara itu, Dr Mohd Najmuddin berakata, NICE 2024 dianjurkan dengan kelainan iaitu menyediakan reruai mentorship untuk mahasiswa mendapatkan pandangan dan input penambahbaikan resume.

“Mahasiswa juga dapat membangunkan resume menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang boleh diserahkan terus kepada syarikat-syarikat terlibat,” ujarnya.

NICE 2024 turut memperkenalkan dua anugerah: Graduates Premium Salary Excellence Award 2023 yang dianugerahkan kepada Micron dan Graduate Recruitment Excellence Award 2023 kepada Intel.

Lebih daripada 30 agensi dan industri menyertai acara ini termasuk Intel, Infineon, Oppstar, Micron, KISMEC, Skyechip, Pintas Utama, SMT Technologies, Bizlink Technologies, Greatech dan Merdeka Centre.

Juga Deriv, Dexcom, Fuji Electric, Alchip Technologies, Pentrac Consulting, Sime Darby Industries, Pusaka Intan Sdn Bhd dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -