Kad Bisnes NFC selaras agenda pendigitalan Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pelancaran Kad Bisnes Komunikasi Medan Dekat (NFC) pentadbiran kerajaan negeri hari ini menyaksikan usaha selaras dengan Agenda Pendigitalan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu (2021-2030).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, teknologi digital hari ini mempengaruhi kehidupan di segenap segi termasuk dari aspek perniagaan, pendidikan, pertanian, komunikasi, penyampaian perkhidmatan dan lain-lain.

Katanya, Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) mucul dengan pendigitalan yang diterajui oleh teknologi seperti Internet of Things (IoT), cognitive computing, Big Data, Artificial Intelligences (AI) dan sebagainya, malahan kini Revolusi Perindustrian 5.0 (IR 5.0) pula mulai diperkenalkan.

“Walau bagaimanapun, kita tidak boleh sekadar melihat perkembangan ini terjadi.

“Selaras dengan itu, agenda pendigitalan Negeri Terengganu, telah menggariskan strategi untuk memperbanyakkan pembangunan produk-produk digital tempatan bagi kegunaan semua sektor di Negeri Terengganu.

“Oleh itu, dibawah portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian, dan Teknologi Hijau melalui TAJDID Corporation Sdn. Bhd. telah membangunkan platform Kad Bisnes NFC sebagai satu produk digital yang menggabungkan teknologi IoT dan teknologi pengkomputeran awan (cloud computing) bersama dengan kad fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kad Bisnes NFC bagi Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu bertempat di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman dan Tengku Seri Bijaya Raja Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Menurut Samsuri, peranan Kad Bisnes NFC membolehkan akses mudah kepada maklumat peribadi dan perkhidmatan kerajaan.

“Menerusi teknologi NFC, pegawai-pegawai kerajaan dapat mengakses maklumat dengan cepat dan selamat melalui sentuhan kad pada peranti yang menyokong teknologi ini.

“Saya menggalakkan semua pegawai kerajaan negeri Terengganu untuk menggunakan Kad Bisnes NFC ini dengan bijak. Jadikan ia alat bantu dalam menjalankan tugas harian dan memperkukuhkan hubungan di kalangan kita,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan Kad Bisnes NFC merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan sistem pengurusan dan memudahkan urusan komunikasi dalam kalangan pegawai kerajaan.

“Saya berharap usaha ini akan berterusan dengan pelbagai lagi pendekatan dan inisiatif yang menggerakkan negeri kita ke arah Kerajaan Digital pada masa akan datang dengan lebih cepat dan tersusun,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2024