Isu diesel: Rakyat suarakan ketidakpuasan hati di medsos

Analisis di Facebook menunjukkan sebanyak 98 peratus komen adalah negatif terhadap PH-BN, susulan isu kenaikan harga diesel sejak 10 Jun 2024. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sentimen negatif yang mendominasi perbincangan di media sosial (medsos) seperti Facebook, X, serta TikTok menunjukkan keresahan dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap penyelarasan subsidi diesel yang bermula pada 10 Jun lepas.

QgenAnalysts dalam kenyataannya berkata, kenaikan sebanyak 56 peratus dari harga sebelumnya dilihat terlalu mendadak dan ia menimbulkan kebimbangan mengenai kesan domino (susulan) terhadap kos sara hidup. 

- Advertisement -

“Walaupun kerajaan telah memberikan jaminan bahawa harga barang tidak akan naik, netizen tetap ragu-ragu dan tidak yakin dengan janji tersebut. Pada (semalam) 11 Jun, pengumuman kenaikan harga oleh pengusaha tunda kenderaan dan pengeluar konkrit telah menguatkan lagi kebimbangan ini. 

“Keresahan ini mencerminkan kegusaran rakyat terhadap impak domino ekonomi yang lebih luas akibat penyelarasan harga diesel ini,” ujar kenyataan tersebut hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Menteri Kewangan Dua Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan penyelarasan harga diesel bermula pada 10 Jun lepas.

Sebelum daripada itu, turut dilaporkan pada 21 Mei 2024 bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman mengenai jemaah menteri telah bersetuju dengan penyelarasan subsidi diesel.

QgenAnalysts dalam kenyataannya lanjut berkata, bacaan data dari AI menunjukkan peningkatan semula perbincangan di Facebook, X, dan TikTok sejurus media melaporkan dua laporan tersebut.

Analisis menurut kenyataan tersebut menunjukkan bahawa majoriti reaksi netizen adalah negatif dan pelbagai komen di ketiga-tiga media sosial utama negara ditujukan kepada Perdana Menteri dan juga Menteri Ekonomi. 

“Berikut adalah ringkasan sentimen negatif dari setiap platform, (pertamanya di platform) Facebook (menunjukkan) 98 peratus komen adalah negatif terhadap PH-BN.

“Antara komen sinis dari netizen adalah mengenai janji bahawa harga minyak akan turun. Netizen juga menjangkakan kesan domino terhadap harga barang keperluan.

“(Keduanya di platform) X (menunjukkan) 65 peratus komen adalah negatif terhadap PH-BN. Berbeza dengan Facebook dan TikTok.

“Di platform X pula terdapat cubaan penyokong PH-BN menyokong usaha kerajaan, namun masih tidak mampu mengatasi komen negatif netizen. 

“Netizen di X juga menyelar contoh-contoh yang diberikan oleh penyokong PH-BN mahupun kerajaan.

“(Ketiganya di platform) TikTok (menunjukkan) 90 peratus komen adalah negatif terhadap PH-BN dan juga ditujukan kepada Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi.

“Netizen di TikTok berpendapat semua harga, sama ada barang atau perkhidmatan, akan naik dan membandingkan dengan keadaan dahulu apabila harga bahan api naik 15 sen sahaja terus diadakan perhimpunan jalan raya,” kata kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -