‘I don’t care’: Kenyataan Perdana Menteri bersifat angkuh

Isham Jalil
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak kisah dimaki oleh orang ramai kerana mempunyai mandat disifatkan sebagai angkuh daripada individu yang memegang jawatan tersebut.

Mantan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, semalam (11 Jun) Anwar dalam kenyataannya berkata bahawa dirinya tidak kisah atau I don’t care sekiranya orang ingin memakinya ‘berbakul-bakul’ (dengan banyak).

- Advertisement -

“Alasan yang beliau berikan ialah dirinya telah mempunyai mandat yang mana ini merupakan suatu kenyataan yang angkuh daripada seseorang yang memegang jawatan Perdana Menteri pada masa ini,” katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri seharusnya ingat mandat telah diberikan kepadanya kerana telah berkali-kali janji ingin menurunkan harga minyak sekiranya diberi peluang mendapat kuasa pemerintahan kerajaan pusat.

Tambah beliau, kali terakhir janji tersebut dibuat ialah pada tahun 2022 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dan bukannya tahun 2008 yang lalu.

“Tapi bila kamu diberi mandat ini oleh rakyat dan kamu dapat kuasa menjadi Perdana Menteri, kamu bukan sahaja mungkir janji malah membuat perkara sebaliknya iaitu dengan menaikkan harga minyak sehingga tertinggi dalam sejarah.

“Ini bermaksud kamu mendapat mandat itu melalui penipuan atau fraudulent. Sesuatu mandat yang didapati melalui penipuan adalah salah, tidak boleh dipakai dan tidak sah.

“Dalam agama Islam sendiri ada menyatakan bahawa mendapat sesuatu dengan cara menipu itu tidak berkat dan haram yang mana ini merupakan perkara asas (basic),” jelasnya.

Beliau menyatakan, isunya bukanlah mengenai Perdana Menteri mendapat mandat dahulu tanpa berjanji  untuk menurunkan harga minyak dan selepas mendapat mandat baru melakukan sedemikian.

Namun kata beliau lagi, yang menjadi masalah ialah apabila dirinya sendiri yang berjanji ingin menurunkan harga minyak bagi mendapatkan mandat dan setelah itu tidak bersifat amanah dan mungkir janji dengan membuat perkara sebaliknya.

“Jika kamu (Anwar) tidak kisah dan ‘don’t care’ maksudnya kamu tidak kisah kepada kesusahan rakyat apabila harga barang naik sebab keputusan kamu ini dan akibat kamu mungkir dan tidak amanah kepada janji kamu tersebut. 

“Sekarang kamu kata subsidi itu adalah kononnya ‘sedekah’ kamu kepada rakyat dan bukan hak rakyat seperti yang kamu laungkan dulu. Rakyat bukan minta sedekah kepada kamu, mereka minta hak mereka. 

“Nanti di peti undi, kamu jangan minta sedekah daripada rakyat untuk raih undi mereka lagi dengan janji-janji palsu dan penipuan kamu,” katanya. -HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -