Harga diesel: Kos baharu bebankan pesawah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pesawah padi di negeri ini akan menghadapi pertambahan kos operasi akibat kenaikan harga diesel berikutan jentera pembajak dan penuaian tidak termasuk dalam kategori diberi penyasaran subsidi.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hal itu akan mengakibatkan pesawah di negeri ini terpaksa membayar lebih, namun dalam masa yang sama pendapatan setiap musim tidak berubah.

“Pesawah akan berhadapan dengan kenaikan kos operasi dan bahan, daripada RM1,500 serelong (sebelum kenaikan) ke RM1,797 serelong selepas kenaikan,” ujarnya.

Berikutan itu kata Sanusi, akan berlaku penyusutan kepada pendapatan para pesawah pada setiap musim penanaman (enam bulan) iaitu daripada RM1,116 ke RM828 serelong sahaja.

“Bendang tak buat tiap-tiap hari, ikut musim, semusim dapat RM828, bahagi enam bulan tengok, sebulan dapat berapa det (Ringgit)? Sebelum ini anggaran pendapatan purata serelong sebanyak RM2,625.

“Kemudian ditolak dengan kos operasi, pesawah akan memperolehi keuntungan RM1,116 tetapi akibat kenaikan harga diesel, pendapatan pesawah akan menyusut ke RM828,” terang beliau.

Pesawah katanya, terpaksa berhadapan kenaikan kos operasi melibatkan upah bajak, upah menuai dan tarik badai yang mengakibatkan pendapatan mereka berkurangan.

Jelasnya, upah bajak tanah setiap pusingan berlaku kenaikan RM70.40 iaitu daripada RM110.00 ke RM180.40 bagi setiap relong,
manakala upah menuai daripada RM140 naik RM89.60 menjadikan RM229.60 serelong.

“Cuba bayangkan kalau ada 100 relong. Itu tak termasuk upah tarik badai, sebelum ini RM90 serelong, naik harga diesel akan menjadi RM147.60.

“Kedah merasa sedih dengan keadaan sebegini kerana negeri ini adalah negeri pengeluar padi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35.

Ianya merupakan kenaikan RM1.20 daripada sebelum ini RM2.15 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12:01 tengah malam, 10 Jun kelmarin. – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -