Dua hari selepas rakyat ‘dirompak’…

Rosli Abdul Jabar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan membuat penyelarasan subsidi diesel yang bermula pada 10 Jun lepas sehingga berlakunya kenaikan mendadak harga diesel, sudah pasti akan memberikan kesan kepada rakyat terutama dari sudut bebanan kos kehidupan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata ini adalah kerana pasti akan berlaku kenaikan harga barangan kerana diesel adalah bahan bakar utama penggunaan jentera industri di Malaysia.

- Advertisement -

“Tidak dapat lari, harga barangan akan meningkat naik juga. Jaminan menteri tidak akan ada kenaikan adalah sangat tidak logik.

“Malaysia telah biasa dengan kenaikan yang sedikit dan telah terbukti ianya juga memberikan kesan kepada rakyat apatah lagi kenaikan mendadak, kebimbangan kita berlakunya kenaikan barang secara mendadak, tidak terkawal yang tidak seimbang dengan pendapatan rakyat yang akan mencetuskan ‘kehidupan panik’. 

“Buktinya sebelum jam 12 pagi, sehari sebelum harga diesel naik berduyun-duyun rakyat memenuhi stesen minyak di beberapa tempat kerana esoknya kenaikan itu memberi kesan dalam ekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini menurutnya, dua hari setelah peristiwa ‘rakyat dirompak’ kesannya mulai jelas dan ada beberapa syarikat dan pihak yang telah mula mengeluarkan kenyataan mengenai kenaikan dan akan membuat ‘semakan’ semula harga beberapa perkhidmatan.

Antaranya ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, jelas kelihatan pada industri sewa jentera seperti bakhoe dan lain-lain yang telah pun menaikkan harga sewaan dan industri pembinaan serta beberapa industri yang lain juga pasti akan menyusul.

“Menteri perlu melihat dengan mata rakyat, bagaimana kesan daripada kenaikan mendadak ini sedangkan pertumbuhan ekonomi masih sangat perlahan.

“Alasan-alasan dan angka-angka yang diberi kononnya untuk mencegah penyeludupan perlu lebih membumi dan logik.

“Inisiatif Madani dengan bantuan RM200 sebulan bukan bantuan yang mencapai matlamat untuk membantu pengguna diesel, melainkan cuma menjadi modal politik PH sahaja.

“Logik akalnya kalau perbezaan perbelanjaan sebelum dan selepas kenaikan diesel sangat ketara bezanya, RM200 tidak mampu untuk menampung. Lalu siapa yang akan menanggung kerugian,” katanya.  – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -