Diesel naik harga: Rakyat berhak marah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan diesel persendirian, petani, pekebun kecil serta rakyat kebanyakan layak untuk marah dan mempersoalkan tindakan kerajaan berikutan pelaksanaan penyelarasan subsidi diesel yang bermula pada 10 Jun lepas.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, kerajaan akan terus diberikan tekanan sehingga kerajaan menilai semula mekanisme yang digunakan dan seterusnya membawa satu solusi yang lebih bijak serta berkesan.

- Advertisement -

“Penghapusan subsidi minyak diesel dengan alasan membanteras penyeludupan adalah sukar untuk diterima. 

“Polisi semberono ini tidak mampu menoktahkan kemiskinan bahkan akan menekan kehidupan rakyat yang tidak berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kerajaan yang konon diisi dengan Menteri Kewangan terbaik dan jaguh formula seharusnya lebih kreatif dalam mencari pendapatan negara dan bukan menyalahkan pihak yang tertindas.

“Bagaimana mungkin penghapusan subsidi ini tidak memberi kesan kepada harga barang sedangkan mesin-mesin yang menggunakan diesel di kilang serta pengangkutan tidak tergolong dalam kategori layak menerima subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)?

“Tambahan pula, bantuan subsidi tunai BUDI Agri-Komoditi yang diberikan hanya layak kepada golongan petani, penternak dan pekebun kecil yang menghasilkan jualan perladangan tahunan dari RM50,000 hingga RM300,000 atau anggaran sebulan sebanyak RM4,166. 

“Bayangkan berapa ramai yang akan tercicir daripada menerima bantuan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -