Dana kepada kerajaan negeri bukan murah hati PM

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Peruntukan dana yang seharusnya diberikan kepada negeri bukan ehsan Kerajaan Pusat atau murah hati Perdana Menteri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim menegaskan, ia hak negeri sebagaimana perjanjian ketika pembentukan Persekutuan Malaysia.

Menurutnya, hasil cukai yang dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Terengganu kira-kira RM800 juta setahun.

“Belum dikira lagi cukai jalan, duti setem, denda mahkamah, saman polis dan JPJ, bayaran Taman Laut, cukai Kastam serta banyak lagi hasil mahsul khazanah negeri yang dikutip oleh Kerajaan Pusat dari Terengganu.

“Ketika perjanjian pembentukan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri telah menyerahkan banyak perkara kepada bidang kuasa pentadbiran Persekutuan, bukan sebab negeri-negeri tak pandai mengurus hasil kekayaan bumi masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman berkata berkata, dalam perjanjian Persekutuan Malaysia, hasil khazanah dalam perut bumi dan lautan serta hasil cukai, negeri-negeri telah lepaskan kepada Persekutuan.

“Bidang kuasa negeri hanya agama, tanah dan air. Sebagai timbal balas atas penyerahan kuasa negeri kepada Pusat, maka perjanjian menetapkan Pusat kena salurkan dana, duit dan segala bentuk kewangan, bukan sebab ehsan Pusat atau murah hati PM. Sama ada kerajaan negeri pandai cari duit atau tak ada duit, hak negeri adalah menerima dana daripada Pusat sebagaimana perjanjian,” katanya lagi.

Terdahulu, Kerajaan Johor memohon Kerajaan Persekutuan supaya 30 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perkara itu penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan hasil negeri untuk segala pembangunan negeri ke tahap yang lebih baik.

Ahad lalu, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan mencadangkan Johor untuk mewujudkan Gabungan Bangsa Johor supaya sentimen politik dan kepentingan negeri itu diputuskan oleh rakyat Johor dan bukan orang luar. – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -