2.7 juta setahun mati di Eropah: WHO salahkan 4 industri utama 

Hans Kluge (FOTO: International Council of Nurses)
- Advertisement -

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu menyalahkan empat industri utama –  tembakau, makanan ultra-proses (UPF), bahan api fosil dan alkohol, sebagai punca sebanyak 2.7 juta kematian setahun di Eropah, menuduh kesemuanya telah menghalang dasar awam yang boleh menjejaskan keuntungan mereka.

Pengarah WHO rantau Eropah, Dr Hans Kluge berkata, keempat-empat industri tersebut telah membunuh sekurang-kurangnya 7,000 orang di rantau Eropah pada setiap hari, yang merujuk kepada 53 buah negara termasuk di Asia Tengah.

- Advertisement -

“Penggabungan sektor industri ini menjadi sebilangan kecil syarikat multinasional ‘telah membolehkan mereka menggunakan kuasa yang ketara ke atas konteks politik dan undang-undang di mana mereka beroperasi, dan menghalang peraturan kepentingan awam yang boleh memberi kesan kepada margin keuntungan mereka’,” katanya, lapor Reuters

Menurut beliau, taktik industri termasuk mengeksploitasi individu yang terdedah melalui strategi pemasaran yang disasarkan, mengelirukan pengguna dan membuat dakwaan palsu tentang manfaat produk mereka atau kelayakan alam sekitar mereka, katanya.

“Taktik ini mengancam keuntungan kesihatan awam pada abad yang lalu dan menghalang negara daripada mencapai sasaran kesihatan mereka,”” tambahnya.

Beliau mengulas lanjut, lobi industri menghalang usaha untuk menangani penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, kanser dan diabetes.

“Hampir 60 peratus orang dewasa dan satu pertiga kanak-kanak di Eropah mempunyai berat badan berlebihan atau obes,” jelas Kluge. 

Data terkini WHO, dari 2017, menunjukkan bahawa satu daripada lima kematian disebabkan oleh penyakit kardiovaskular dan kanser di Eropah adalah akibat daripada tabiat pemakanan yang tidak sihat.

Sehubungan itu WHO menggesa negara untuk melawan dengan menguatkuasakan peraturan yang lebih kukuh mengenai pemasaran produk tidak sihat, amalan monopoli dan melobi.

“Orang ramai mesti diutamakan sebelum memikirkan tentang untung bisnes,” kata Kluge. – Agensi-HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -