YIPs peroleh RM9 juta dari pelaburan KPJSB

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis melalui Yayasan Islam Perlis (YIPs) berjaya memperoleh RM9 juta hasil daripada penjualan saham kepada Kumpulan Perubatan Johor Sendirian Berhad (KPJSB).

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli memaklumkan demikian selepas majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Kompleks Dewan Undang Negeri (DUN), di sini semalam.

Menurut Mohd Shukri, dana diperoleh daripada penjualan saham ini akan digunakan untuk memperkukuhkan operasi YIPs dan membuka peluang pelaburan yang lebih menguntungkan pada masa depan.

“Tandatangan ini adalah untuk kita jual syer dengan KPJ dan kita dapat duit tunai untuk membantu operasi yayasan. Sekarang ini yayasan mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menjalankan operasi.

“Saya ingat mereka akan membuat pelaburan yang menguntungkan dengan modal yang ada lebih kurang RM9 juta,” katanya kepada Harakahdaily.

Untuk rekod, perjanjian usahasama antara YIPs dan KPJSB telah dimeterai pada 11 Julai 2011, bertujuan membangunkan hospital pakar pertama di negeri Perlis.

YIPs telah menyediakan sebidang tanah seluas 4.329 ekar di Pengkalan Asam, Mukim Seriab, sementara KPJSB membangunkan bangunan hospital serta menyediakan perkhidmatan kepakaran perubatan.

Melalui perjanjian itu, YIPs memegang 40 peratus saham, manakala KPJSB memegang 60 peratus saham dalam Perlis Specialist Hospital Sdn Bhd (PsSHSB).

Kini, hospital pakar tersebut telah beroperasi dengan jayanya, membuktikan kerjasama antara dua pihak ini dalam menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti di Perlis.

Berikutan operasi hospital pakar yang semakin memberangsangkan, YIPs mengambil keputusan untuk melepaskan pegangan sahamnya dalam PsSHSB kepada KPJSB melalui perjanjian jual beli saham.

Keputusan itu akan membolehkan YIPs mencari peluang kerjasama baharu dengan pihak-pihak yang bersesuaian serta mengukuhkan aliran tunai semasa, selain membuat pelaburan dalam sektor kewangan dan hartanah. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -