‘Umumkan dulu, baru fikir: Kerajaan sangat gopoh’

Kerajaan tidak perlu gopoh daalam melaksanakan langkah sebesar seperti penyasaran subsidi diesel dan memperkenalkan pula BUDI selepas PADU. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Umumkan dahulu baru fikir. Itulah tindakan yang berulang kali dilaksanakan kerajaan. Dulu Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menjadi contoh, terkini penyasaran subsidi diesel pula.”

Profesional Istiqamah berkata, sepatutnya kerajaan tidak perlu gopoh dan melaksanakan langkah sebesar itu (penyasaran subsidi diesel).

- Advertisement -

“Namun, nasi telah menjadi bubur.Kesan daripada langkah penarikan subsidi ini perlu terus diperhatikan dari semasa ke semasa dan kerajaan harus menambahbaik segala intervensi bagi mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, sepertimana PADU, kerajaan dilihat sangat gopoh dan tidak kemas dalam menyusun langkah penyasaran subsidi diesel yang begitu dibanggakan.

“Pengusaha dan penggiat perusahaan kecil yang tidak dipersiapkan dalam menghadapi penarikan subsidi diesel sudah pasti akan meningkatkan lagi kos pengeluaran.

“Contoh mudah dapat dilihat menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Budi Madani (BUDI) yang dilihat mempunyai ‘loophole’ yang sepatutnya terlebih dahulu diuruskan sebelum kerajaan mula menguatkuasakan penarikan subsidi diesel.

“Antara kumpulan individu yang terjejas teruk adalah perusahaan bas persiaran yang tidak termasuk dalam kategori penerima subsidi,” ujar kenyataan itu.

Hal ini menurut Profesional Istiqamah, akhirnya akan meningkatkan kos perusahaan bas persiaran berkali ganda apabila diesel naik hampir 50 peratus, dan perkiraan oleh para pengusaha telah pun dibuat bagi tempoh setahun dengan kadar diesel masih bernilai RM2.15 seliter.

“Persoalannya, kumpulan masyarakat manakah yang kerap menggunakan perkhidmatan bas persiaran? Adakah kumpulan mahakaya? Atau rakyat marhaen?” soalnya.

Menurutnya lagi, pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana yang tidak melepasi syarat-syarat samada permohonan BUDI atau ‘fleet-card’ turut terjejas teruk dengan langkah gopoh kerajaan yang tidak mempersiapkan terlebih dahulu ekosistem ekonomi negara. 

“Ya benar, secara teori sepatutnya para pengusaha kecil ini mengusahakan perniagaan dengan mematuhi 100 peratus peraturan. Namun itulah hakikat ekonomi, akan ada ruang-ruang yang perlu diperbaiki.

“Ruang bagi mematangkan ekonomi rakyat inilah langkah yang sebenarnya turut penting dalam mengelakkan ketirisan subsidi dan memastikan kumpulan yang layak menerima subsidi. 

“Mereka yang layak tetapi tidak cukup syarat sewajarnya dibantu. Bukannya terus dipinggirkan dalam kegelojohan kerajaan ingin berjimat,” tegas kenyataan itu.

Terkini, menurut Profesional Istiqamah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengeluarkan notis meminta para pengusaha yang telah lulus permohonan tetapi masih belum menerima ‘fleet-card’ dibawah SKSD agar menyimpan resit terlebih dahulu.

“Justeru, apakah yang kita boleh fahami daripada langkah kerajaan ini? 

“Bermaksud kerajaan telah mengumumkan penarikan subsidi dalam keadaan masih terdapat golongan pengusaha yang belum bersedia dengan situasi penguatkuasaan harga diesel yang baharu oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -