TFC pulangkan tajaan RM1.5 juta demi keharmonian

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) akan memulangkan kembali bayaran penajaan XFOX Market Holdings Sdn Bhd sebanyak RM 1.5 juta yang telah selesai dilunaskan.

- Advertisement -

“Bagi pihak Terengganu FC, kami merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama singkat bersama pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd,” ujar TFC dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, TFC telah memeterai perjanjian penajaan bersama pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd pada 9 Jun 2024.

Katanya, proses untuk memuktamadkan penajaan itu telah melalui proses yang menjadi kelaziman bagi pihak TFC seperti penaja-penaja lain.

Walaupun begitu, ujarnya setelah tular perjanjian penajaan itu, munculnya suasana yang kurang sihat dalam media sosial dengan pelbagai tohmahan yang sekali gus menjejaskan keharmonian kelab.

“Pihak Terengganu FC bersedia untuk bekerjasama dengan pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd setelah melihat dan menyaksikan sendiri operasi perjalanan syarikat khususnya XFOX Arena di Subang Bestari yang menyediakan Padang Bolasepak Sintetik yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan Terengganu FC sebagai sebuah kelab bolasepak,” jelas TFC lagi.

Selain itu, katanya pelbagai lagi perniagaan yang dijalankan oleh pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd.

Walau bagaimanapun, ujar TFC kerjasama itu dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak, malah TFC juga mendapat simpati daripada pihak penaja dengan suasana itu.

“Demi keharmonian kelab, dan mengambil kira suara penyokong yang merupakan tulang belakang pasukan, pihak Terengganu FC telah melakukan perbincangan dengan pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd untuk melihat kaedah terbaik penyelesaian isu ini.

“Atas persefahaman bersama, pihak Terengganu FC dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd bersedia untuk membubarkan kembali perjanjian penajaan ini tanpa sebarang tuntutan antara kedua pihak,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tindakan itu lebih kepada melihat aspek keharmonian kelab untuk mengharungi pelbagai lagi cabaran mendatang.

Sementara itu, kata TFC dalam tempoh yang masih berbaki, pihaknya akan terus berusaha untuk mendapatkan penaja bagi AFF Shopee Cup 2024.

“Semoga dengan keputusan ini akan memberikan keharmonian buat Terengganu FC, XFOX Market Holdings Sdn Bhd dan semua penyokong-penyokong kelab,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -