Tawaran jual air terawat bukan omong kosong

Prasangka Mahdzir Khalid disangkal

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menawarkan untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang melalui Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar, Bandar Baharu, bukanlah omong kosong.

- Advertisement -

Tawaran itu adalah berdasarkan fakta dan bukan juga sekadar halua telinga menjelang PRK N.20 DUN Sungai Bakap, demikian kenyataan media Pejabat Menteri Besar Kedah, hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, tawaran itu berikutan projek naik taraf LRA Lubuk Buntar Lama akan siap dinaik taraf pada bulan September depan dengan kemampuan menghasilkan 30 juta liter sehari (MLD).

“Tawaran itu sebenarnya adalah berdasarkan fakta (iaitu) setelah projek naik taraf LRA Lubuk Buntar Lama siap, bekalan air terawat daripada dua LRA di Daerah Bandar Baharu termasuk dan LRA Lubuk Buntar Baru (25 MLD) akan menghasilkan sebanyak 55 MLD,” jelas kenyataan itu.

Malah turut dijelaskan, berdasarkan Unjuran Permintaan Air Terawat di Daerah Bandar Baharu sehingga tahun 2030, akan ada lebihan atau margin air terawat daripada dua LRA ini sebanyak 20 MLD.

Terdahulu, Sanusi pada ucapan sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), PRK N.20 DUN Bakap menawar Kerajaan Pulau Pinang untuk membeli air dari Kedah bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Nibong Tebal.

Tawaran itu berikutan LRA Lubuk Buntar di Bandar Baharu, hanya berada pada jarak 16 kilometer dari Nibong Tebal khususnya di kawasan yang mengalami masalah bekalan air sejak lebih 6 tahun lalu.

Menurut Pejabat Menteri Besar Kedah, 10 MLD iaitu separuh daripada lebihan bekalan air terawat ini boleh dijual kepada Pulau Pinang untuk kegunaan penduduk di kawasan itu.

Untuk maklumat, LRA Lubuk Buntar Lama yang beroperasi sejak tahun 1992 pernah membekalkan air terawat ke Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), malah jajaran paip yang digunakan masih ada di sempadan dua negeri iaitu antara Permatang Pasir, Bandar Baharu.

“Sehubungan itu, kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang disiarkan media tempatan, kelmarin tidak berlandas kepada fakta sebenar.

“Tuduhan pemimpin itu kononnya tawaran yang dibuat oleh Menteri Besar semata-mata untuk memenangi hati pengundi DUN Sungai Bakap pada PRK 6 Julai ini, juga adalah bersifat prasangka,” jelas kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -