Suruhanjaya Tinggi Kedutaan Australia lawat PASTI

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Suruhanjaya Tinggi Kedutaan Australia dalam kunjungan ke Parlimen ini turut meluangkan kesempatan melawat institusi pendidikan di bawah kendalian Dewan Pemuda PAS Malaysia.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Kedah, Ustaz Majdi Husain sehubungan itu berkata, kunjungan tersebut bukan sahaja melakar sejarah, bahkan jalinan kerjasama dua hala untuk memartabatkan pendidikan.

“Kunjungan ini secara tidak langsung memberi impak kerjasama dua hala yang baik untuk memartabatkan pendidikan khususnya di bawah pengurusan PAS.

“Oleh itu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kedutaan Australia atas kunjungan julung kali ini. Semoga akan ada kerjasama selepas ini,” jelas beliau.

Suruhanjaya Tinggi Kedutaan Australia yang diketuai Setiausaha Pertama, Michelle Hughes dibawa melawat PASTI Al-Amal dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Darul Aman, di sini semalam.

Maklum Ustaz Majdi, daripada lawatan tersebut, pelbagai perkara baru telah diperolehi di samping kedua pihak saling bertukar fikiran dan pandangan pada pertemuan dua hala tersebut.

Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar, Salmy Anas Ahmad yang juga mewakili PAS Kawasan Kuala Kedah dan Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) Kuala Kedah, Norizah Shaari.

Manakala delegasi Suruhanjaya Tinggi Kedutaan Australia itu turut disertai Setiausaha Kedua, Gabriela Brand dan Pegawai Politik  Suruhanjaya itu, Nik Mohd Yusof Nik Farid.

Dalam pada itu Majdi turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari dan PASTI Negeri Kedah yang menjadi pengantara lawatan ini. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -