‘Semoga Allah tewaskan golongan ruwaibidhah’

Aire Roslan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga diesel boleh memberi kesan rantaian yang meluas kepada ekonomi dan masyarakat di Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aire Roslan berkata, antara kesan rantaian yang mungkin berlaku adalah kenaikan kos pengangkutan, inflasi, kesan kepada industri dan sosial. 

- Advertisement -

“Kenaikan harga diesel akan menyebabkan kos pengangkutan meningkat. Ini boleh membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kerana kos penghantaran yang lebih tinggi biasanya akan disalurkan kepada pengguna akhir.

“Seterusnya, kenaikan harga diesel boleh menyebabkan inflasi secara keseluruhan apabila kos pengeluaran meningkat dan kos tersebut diimbangi dengan menaikkan harga produk dan perkhidmatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Aire berkata, kenaikan harga diesel juga memberi kesan kepada industri seperti sektor pengangkutan, pertanian, pembinaan, dan lain-lain.

“Kos operasi mereka akan meningkat, dan ini boleh menyebabkan tekanan tambahan kepada keuntungan mereka.

“Selain itu, kenaikan harga diesel juga boleh memberi kesan kepada rakyat biasa, terutamanya golongan yang bergantung kepada kenderaan bermotor untuk perjalanan harian. 

“Kos hidup mereka mungkin meningkat akibat kenaikan harga bahan bakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam hantaran kenyataan yang berasingan, beliau berkata, tindakan politik kerajaan Madani kini sedang memakan diri sendiri.

“Janji ‘peningkatan ekonomi’ menjadi ‘kejatuhan’. Janji ‘harga minyak turun’ menjadi ‘kenaikan’.

“Cuma bila dibuat kiraan, mungkin semua subsidi yang telah ditarik ini apabila dikumpul selama dua tahun lagi, cukup untuk menjadi ‘gula-gula’ Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) selama lebih kurang enam bulan.

“Mungkin pula bila mereka dapat lagi lima tahun, mereka akan guna tiga atau empat tahun untuk memeras rakyat, bakinya satu atau dua tahun terakhir akan digunakan pula untuk meraih sokongan dengan ‘gula-gula’ PRU17. Begitulah pusingannya.

“Semoga Allah SWT menewaskan golongan ruwaibidhah,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang merupakan portfolio utama bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut merupakan antara individu paling lantang menentang kenaikan harga bahan api.

Beliau malah cukup popular dengan ucapan tegas yang meyakinkan rakyat ketika menjadi pembangkang dahulu dengan janji menurunkan harga bahan api petrol dan diesel dalam masa kurang 24 jam sekiranya diangkat sebagai kerajaan.

Bagaimanapun ketika Pakatan Harapan memenangi PRU14 dan menjadi kerajaan, beliau memberi alasan bahawa harga bahan api tidak dapat diturunkan kerana beliau belum dilantik sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Namun kini, setelah lebih setahun beliau sebagai Perdana Menteri, tiada sebarang langkah dibuat untuk menurunkan harga petrol dan diesel, sebaliknya kerajaan beliau merancang ke arah mengurangkan subsidi berkenaan.

Antara pemimpin kerajaan kini yang turut lantang mengecam rancangan pemansuhan subsidi terutama ketika zaman Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ialah  Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli ketika beliau sebagai Naib Presiden PKR ketika itu. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -