Sekolah Sukan Malaysia Perlis siap Oktober ini

- Advertisement -

PADANG BESAR: Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ kerana terbengkalai pembinaannya selama 11 tahun iaitu sejak 2013, dijangka dapat disiapkan pada Oktober ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sendiri telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek bagi mendengar taklimat kemajuan pembinaan sekolah tersebut di Bukit Chabang, di sini semalam.

Lawatannya itu sebagai menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan projek ini disiapkan tepat pada masanya dan dapat memberikan manfaat kepada atlet muda negara.

Dari taklimat yang diberikan kepada beliau oleh pihak bertanggungjawab dengan pembinaan tersebut, dimaklumkan bahawa projek itu dijadualkan siap selewat-lewatnya pada Oktober 2024.

Mohd Shukri dalam pada itu turut menekankan kepentingan memberi keutamaan kepada syarikat tempatan sebagai subkontraktor bagi mempercepatkan proses penyelesaian projek ini.

“Beri keutamaan kepada syarikat tempatan sebagai subkontraktor untuk bantu siapkan projek ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Difahamkan, sekolah ini apabila siap nanti berupaya menampung seramai 224 atlet dalam satu-satu masa dan akan menumpukan pembangunan enam jenis sukan dalam fasa pertama.

Sukan-sukan yang akan diberi tumpuan termasuk olahraga, memanah, badminton, bola jaring, bola sepak, serta sepak takraw. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -