Rushdan selami isu penduduk secara lebih dekat

- Advertisement -

PADANG BESAR: Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi sedang meluaskan usaha mengenal pasti permasalahan dihadapi penduduk untuk diketengahkan ke peringkat atau pihak berkaitan bagi menanganinya.

- Advertisement -

Langkah mendekati mereka secara langsung itu dilaksanakan beliau menerusi beberapa program antaranya Dapur Rakyat, lawatan dan ziarah, kenduri rakyat serta sesi dialog khas dua hala bersama penduduk.

“Menerusi program sebegini, saya dapat mendekati penduduk dengan lebih dekat dan mendengar sendiri keluhan mereka. Ada perkara disuarakan penduduk itu penting dibawa ke Sidang Parlimen akan datang,” ujarnya.

Rushdan menggerakkan inisiatif menyantuni penduduk sebagai intensif cakna dan kebajikan itu dengan mengadakan lawatan di tiga DUN dalam Parlimen ini iaitu Titi Tinggi, Chuping dan Mata Ayer, kelmarin.

Selain singgah di kenduri-kenduri penduduk, beliau juga meluangkan kesempatan mengadakan dialog bagi mendengar pelbagai masalah setempat atau dihadapi penduduk, selain menyalurkan maklumat penting dari Parlimen.

Manakala program Dapur Rakyat dianjurkan pihak beliau buat julung kali, telah menghimpunkan ratusan penduduk setempat yang hadir di Kampung Perawah, DUN Mata Ayer, di sini.

Sebelum itu, Rushdan hadir di program sama yang telah diadakan di Batu 16, DUN Titi Tinggi di sebelah paginya dan di Surau Cikgu Ali, DUN Chuping pada tengah harinya.

Menurut beliau, secara tidak langsung menerusi pertemuan dan dialog seperti itu membolehkannya membina hubungan lebih erat dengan penduduk dan mengenal pasti hal ehwal kebajikan mereka.

“InsyaAllah program ini akan diteruskan lagi ke kampung-kampung lain bagi ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Padang Besar ini seterusnya,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Rushdan menyatakan komitmen beliau untuk sentiasa mendekati penduduk serta prihatin terhadap permasalahan dihadapi mereka. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -