RM1.5 juta atasi masalah banjir di Kampung Jabi

- Advertisement -

POKOK SENA: Masalah banjir kilat yang sering melanda sebahagian penduduk akan dapat diatasi apabila projek penyelenggaraan saliran dan perparitan dilaksanakan penghujung Jun ini di Kampung Jabi, di sini.

- Advertisement -

ADUN Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood berkata, peruntukan sebanyak RM1.5 juta telah diluluskan Jabatan Kerja Raya (JKR) memandangkan kampung tersebut merupakan ‘hot spot’ banjir setiap kali berlaku hujan lebat.

“Bukan kata banjir kilat dah. Bila hujan lebat dalam sejam sahaja, pasti rumah mereka (terutama rumah bawah) akan dimasuki air setinggi paras betis.

“Alhamdullillah, baru-baru ini JKR telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk menyelenggara sistem perparitan, saliran, menukar serta menambah culvet dan lain-lain.

“Kita mengharap projek yang akan dilaksanakan pada penghujung Jun ini akan mengurang risiko banjir di kampung berkenaan,” jelasnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya mengunjungi mangsa banjir dan menyampaikan sumbangan bencana kepada keluarga yang terlibat.

Pada kunjungan itu seramai 28 keluarga yang menjadi mangsa banjir menerima sumbangan bantuan bencana kerajaan negeri sebanyak RM200 dalam satu majlis di kampung itu, kelmarin.

Kata Salim lagi, setiap kali berlaku banjir, penduduk yang terkesan di kampung itu akan dibantu dengan sumbangan bencana kerajaan negeri bagi meringankan beban ditanggung mereka.

Pada hari sama, mereka turut menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Sungai Santap, Telaga Mas dan pembinaan menara serta tandas di Surau Bendang Lanjut. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -