PRU16: PAS Indera Mahkota sasar ‘3-0 Kemenangan Mutlak’

- Advertisement -

KUANTAN: PAS Kawasan Indera Mahkota berazam untuk memenangi DUN Semambu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 bagi mencapai ‘Misi 3-0 Ke Arah Kemenangan Mutlak’.

- Advertisement -

Pelancaran misi tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan di Dewan Syed Zulkifli, Balok dekat sini, kelmarin.

Yang Dipertua PAS kawasan, Andansura Rabu berkata, misi itu adalah untuk menggariskan dan memastikan kesiapsagaan jentera dan petugas berperanan di setiap sudut bagi merealisasikan kemenangan mutlak 3-0 dicapai dengan bantuan daripada komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu BERSATU dan Gerakan.

“Kita bukan sahaja mempertahankan Parlimen Indera Mahkota, DUN Beserah tetapi kita akan memenangkan DUN Semambu menjadikan ia mutlak milik kita untuk seluruh kawasan Indera Mahkota, sekali gus mencapai hasrat PAS Teraju Pahang, misi ini menjadi punca dan kunci untuk kita ke arah tersebut,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan pada mesyuarat agung itu.

Menurutnya, misi kemenangan mutlak itu bukan sahaja slogan, ia perlu dilaksanakan dengan gerak kerja yang terancang dan bersasar. Oleh itu gerak kerja tarbiah untuk memantapkan ahli-ahli perlu dipertingkatkan kualitinya.

“Perjalanan tarbiah yang baik dapat mendisiplinkan ahli dan pemantapan dalaman untuk sentiasa bersedia menyumbangkan tenaga, material serta sentiasa bersama dalam apa juga halangan dan cabaran dalam gerakan kita ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah.

Beliau juga meminta agar kerja-kerja dakwah setempat dapat dimantapkan lagi untuk menangkis isu Islamofobia dan fahaman sekular yang mengasingkan politik dengan Islam.

“Kita tidak mahu isu ini dihidup dan digemburkan semula sehingga menimbulkan banyak persepsi buruk kepada Islam. Oleh itu slogan Islam For All perlu ditunjukkan semula bagi menghidupkan semangat mereka untuk bersama dengan Islam,” ujarnya lagi.

Selain pelancaran misi itu, turut diadakan penyerahan mock cheque untuk dana kompleks PAS Pusat berjumlah RM18,914.40 kepada Annuar, penyampaian anugerah pelbagai kategori iaitu Anugerah Cawangan Contoh kepada PAS Cawangan Chengal Lempong dari DUN Beserah, Cawangan Chenderawasih (DUN Semambu), manakala Anugerah Jasamu Dikenang kepada Mohd Fazil Abdullah Mohamad Akmal Mohd Mokhtar, Rasiah Kasa dan Almarhumah Hamimun Dahaman yang diwakili suaminya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Pahang, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Gerakan negeri, Raymond Cham Choon Fatt. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -