Penantian untuk miliki rumah sendiri akhirnya tercapai

- Advertisement -

MARANG: Terpilih sebagai penerima projek Rumah Mampu Milik (RMM) Kemas Sejahtera usaha sama antara kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

- Advertisement -

Itulah perasaan bapa kepada dua orang anak, Luqman Hakim Ahmad, 33, antara yang terpilih penerima kunci RMM di Kampung Mak Kemas, DUN Bukit Payong.

“Tidak sangka terpilih untuk menerima rumah mampu milik ini, perasaan saya bercampur baur antara gembira, terharu dan syukur. Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa saya akan mendapat peluang sebegini.

“Saya nak ucap terima kasih kepada pihak kerajaan negeri dan kepada badan kerajaan yang terlibat dalam sesi pembahagian rumah ini,” katanya yang sudah memohon rumah mampu milik selama tiga tahun.

Menurut Luqman, dia bersama isterinya, Jamaliah Jusoh, 29, sebelum ini menumpang di rumah neneknya yang terletak di Kampung Atas Tol.

Katanya, satu iklan mengenai rumah mampu milik yang dilihatnya di laman Facebook membuatnya bertekad untuk mencuba nasib.

“Permohonan terawal sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya tengok dalam Facebook, ada orang suruh isi borang, saya cuba isi, dalam dua tiga kali juga turun naik pejabat (kerajaan negeri), akhirnya dapat juga.

“Memang tak sangka boleh,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci RMM Kemas Sejahtera, semalam.

Zulazri Hafiz Zukilfi, 40, pula berkata, penantiannya selama 13 tahun untuk memiliki kediaman sendiri termakbul apabila terpilih sebagai penerima rumah melalui RMM.

“Kami sekeluarga tidak pernah jemu membuat permohonan RMM. Setiap kali ada iklan tawaran kami mohon, kiranya hampir 13 tahun dan alhamdulillah akhirnya hari ini kami menerima kunci rumah bagi projek RMM Kemas Sejahtera ini.

“Terima kasih kepada semua pihak terlibat terutamanya kerajaan negeri. Saya sangat gembira dan terharu, mungkin ini rezeki anak yang baru lahir,” ujarnya yang merupakan bapa kepada tiga orang cahaya mata berusia antara 12 tahun hingga tujuh bulan.

Majlis Penyerahan Kunci RMM Kemas Sejahtera disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -