PAS bersolidariti terhadap resolusi D-8 dalam isu Palestin

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menyambut baik resolusi yang dicapai di antara Malaysia dan negara-negara anggota Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) berkaitan situasi di Gaza.

- Advertisement -

Negara-Negara Anggota D-8 menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk merealisasikan hak-hak mereka yang tidak boleh dipertikaikan, keahlian penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan semua resolusi yang berkaitan dengan Isu Palestin di forum antarabangsa.

Isu Palestin telah memainkan peranan yang penting dalam menyatukan umat Islam dan kesatuan dari segi kemanusiaan di peringkat antarabangsa. Kezaliman Zionis yang melampau dalam melakukan serangan, pembunuhan, dan kemusnahan telah menyebabkan umat Islam dan masyarakat antarabangsa telah keluar membuat bantahan bagi membela hak rakyat Palestin.

Begitu juga sokongan diplomatik, politik, ekonomi, dan media daripada negara-negara Afrika dan Amerika Latin serta laungan demonstrasi yang lantang di Amerika Syarikat dan Eropah.

PAS turut menyatakan pujian terhadap Turkiye yang terkehadapan dalam usaha memperjuangkan nasib umat Islam yang menjadi mangsa kekejaman Israel di Palestin.

Usaha yang direncanakan melalui D-8 ini adalah kesinambungan daripada idea Almarhum Prof. Najmuddin Erbakan yang telah dilaksanakan oleh beliau ketika menjadi Perdana Menteri Turkiye pada tahun 1995.

AL-QUDS MILIK UMAT ISLAM.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Zulkaedah 1445/11 Jun 2024 – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -