Kenaikan harga diesel: Semua lapisan masyarakat jadi mangsa

Iqman Iberahim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga diesel kepada RM3.35 seliter memberikan impak yang besar kepada setiap masyarakat dalam negara ini yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang sedia ada.

Exco Lajnah Isu Rakyat & NGO Dewan Pemuda PAS Gombak, Iqman Iberahim berkata, sekalipun kerajaan mengambil jalan penyelesaian iaitu berbentuk bantuan tunai Budi Madani (BUDI) sebanyak RM200 sebulan kepada para pengguna kenderaan diesel tetapi ianya masih lagi tidak mencukupi.

- Advertisement -

“Kesannya, kehidupan mereka akan terus terbeban kerana RM200 sebulan sememangnya sudah lagi tidak cukup memandangkan harga barang pun sudah naik lebih daripada itu apetah lagi apabila dicampur dengan kenaikan harga minyak diesel pula,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, seharusnya setiap kali kerajaan ingin menaikkan harga sesuatu bahan mentah seperti diesel atau seumpamanya maka peningkatan bantuan tunai itu sendiri juga perlu dilakukan.

Tambahnya, ini bertujuan supaya mengurangkan ketidakadilan yang mana syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri minyak membuat keuntungan berganda tetapi setiap lapisan masyarakat yang menanggung kesan buruknya.

“Apa yang saya lihat ialah kebanyakan masyarakat pula yang terpaksa menanggung segala kerugian apabila kerajaan mula menaikkan harga diesel dan sudah tentu syarikat-syarikat minyak membuat keuntungan yang besar.

“Ini hanya meningkatkan lagi jurang antara golongan yang terlebih kaya (T20) iaitu minoriti dalam negara ini dengan majoriti rakyat yang bukan sahaja dalam kalangan golongan B40 tetapi juga terhadap M40 yang mana perkara sebegini tidak seharusnya kerajaan terlepas pandang.

“Saya juga ingin melontarkan satu persoalan iaitu adakah kerajaan benar-benar mengkaji dan meneliti perkara-perkara yang bakal berlaku sekiranya menaikkan harga diesel?,” ujarnya.

Beliau menyatakan kerajaan seharusnya mendengar saranan daripada pakar-pakar ekonomi bebas mengenai isu sebegini memandangkan isu diesel bukan sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh.

Kata beliau lagi, sebarang keputusan yang dilakukan kerajaan juga perlu mengambil kira kesan terhadap setiap lapisan kehidupan masyarakat dan bukan hanya sekadar menjaga ‘golongan kayangan’ semata-mata.

“Malangnya, tindakan kerajaan dalam menaikkan harga diesel baru-baru ini  merupakan sesuatu yang drastik dan tunggang-langgang kerana tidak memikirkan kesannya kepada setiap lapisan masyarakat.

“Bukankah seharusnya kerajaan perlu susah senang bersama-sama dengan rakyat? Akan tetapi, saya lihat kaedah sebegini hanya menguntungkan golongan kayangan sahaja.

“Jadi, saya harapkan rakyat membuka mata dan melihat sendiri siapa pemimpin yang benar-benar cakap serupa bikin serta siapa yang hanya bersifat retorik semata-mata,” katanya. -HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -