Kelantan teroka teknologi penternakan lembu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dan Nara Greenland sepakat meneroka peluang kerjasama baharu khususnya dalam pembangunan teknologi ladang penternakan lembu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, perkara itu dibincang bersama pengiat sektor tersebut dari selatan Thailand.

“Kita menerima kunjungan Nara Greenland dari Thailand bagi melihat peluang kerjasama yang boleh kita gerakkan bersama dalam bidang pengurusan ladang penternakan lembu.

“Saya lihat kerjasama erat perlu bagi memaksimumkan ruang pembangunan teknologi dan penambahbaikan pengurusan ladang ternakan lembu di Kelantan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan wakil Nara Greenland di Kota Darulnaim. Turut hadir pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dan Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd. (Foto atas)

Nara Greenland sinonim dengan pembiakan lembu baka Thai Tha Chi iaitu baka kacukan daripada baka lembu Jepun (Tha Chi Ma) dengan lembu kampung.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, pemain industri terbabit mempunyai kepakaran bagi memperkasakan sektor penternakan di Kelantan.

“Insya-Allah agensi dan anak syarikat kerajaan negeri akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan melalui kerjasama tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -