Jentera Muslimat PAS Sabah sedia hadapi PRN

Norsah Bongsu
- Advertisement -

PAPAR: Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah menerima tanpa bahas usul perwakilan kawasan Kinabatangan, kesediaan PAS negeri menyertai Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

- Advertisement -

Menurut ketuanya, Norsah Bongsu, usul yang dibentangkan semasa Muktamar Dewan Muslimat PAS negeri itu membuktikan jentera muslimat telah bersedia untuk menghadapi PRN17 yang akan berlaku pada bila-bila masa.

“PAS Sabah telah menyatakan kesediaan untuk menyertai PRN yang dijangka akan diadakan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

“Persiapan ini merupakan sebahagian daripada strategi politik untuk memperkukuhkan kehadiran PAS di Sabah dan memastikan bahawa parti ini dapat menyumbang kepada pembangunan politik di negeri ini,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas muktamar di sini, kelmarin.

Menurut Norsah, jentera muslimat telah melakukan pelbagai persiapan bagi menghadapi pilihan raya.

Ini, ujarnya termasuk mengadakan mesyuarat mahupun bengkel bagi merangka strategi dan gerakan kempen, mengenal pasti calon-calon berpotensi serta menggerakkan jentera parti di peringkat akar umbi.

Kata beliau, muslimat PAS negeri merancang mengetengahkan isu-isu tempatan yang relevan kepada pengundi seperti pembangunan infrastruktur, peningkatan taraf hidup dan pendidikan.

Selain itu, beliau menekankan pentingnya penglibatan dan sokongan komuniti dalam setiap aspek kempen.

“Ini termasuk kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat setempat, mengadakan program-program kebajikan dan aktiviti sosial bagi mendekatkan diri dengan pengundi dan memahami keperluan mereka secara langsung,” katanya.

Selain membantu mengangkat calon-calon yang diketengahkan kepada rakyat, muslimat PAS juga telah bersedia mengemukakan calon wanita yang berwibawa, berintegriti, berpengalaman dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik kepada masyarakat.

Selain itu, katanya, calon akan melalui proses saringan yang ketat bagi memastikan mereka mampu membawa agenda parti dan berkhidmat dengan baik kepada masyarakat.

“Kesediaan Muslimat PAS Sabah untuk menyertai PRN17 menunjukkan komitmen kami untuk menjadi sebahagian daripada lanskap politik di Sabah.

“Dengan persiapan dan strategi yang rapi, kami berharap, mampu memberikan saingan yang kompetitif dan dapat memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat di Sabah khususnya,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -