Isu subsidi diesel: PH, PMX mungkir janji dengan rakyat

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menarik semula pemberian subsidi diesel secara drastik mulai 10 Jun 2024 membuktikan Pakatan Harapan terutama PMX mungkir janji dengan janjinya sendiri terhadap rakyat.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, bukan soal pemberian subsidi bersasar yang mencetuskan kemarahan rakyat, tetapi ketidaktentuan kerajaan menyusun pelarasan subsidi ini yang membuatkan rakyat keliru dan terbeban.

- Advertisement -

“Kerajaan sendiri seakan tidak yakin dengan dasar yang mahu dibawa. Mana tidaknya, penafian demi penafian diberikan apabila ditanya soal subsidi. Malah PMX sendiri memberikan jawapan agak samar sewaktu diwawancara Bloomberg,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Sukri, ahli-ahli PKR pasti bingung setelah ditipu hidup-hidup Presiden mereka dalam Kongres Nasional PKR pada Julai 2022 yang lalu yang mahu menurunkan harga minyak setelah menjadi Perdana Menteri.

Namun malangnya, menurut beliau, belum sampai dua tahun menjadi Perdana Menteri, harga diesel pula dinaikkan, yang akhirnya Pakatan Harapan terpaksa menjilat ludahnya sendiri walaupun pahit.

“Melalui penghapusan subsidi bahan api ini, sudah pasti keseluruhan penjimatan berbilion-bilion tersebut masuk ke dalam kantung kerajaan. Maka, rakyat pasti tertanya-tanya bagaimana wang yang dijimatkan itu diuruskan?

“Adakah kerajaan terdesak dan tiada sumber lain untuk menampung sebahagian daripada keseluruhan RM393.8 bilion belanjawan 2024 yang telah dibentangkan tahun lepas?” soalnya.

Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan, pelarasan subsidi diesel yang tidak konsisten antara Semenanjung dan Sabah Sarawak menimbulkan pelbagai spekulasi berbangkit, antaranya adakah kerajaan Madani tidak berani membuat penyelarasan secara menyeluruh kerana negeri Sabah dan Sarawak akan menghadapi pilihan raya negeri dalam masa terdekat?

“Adakah tindakan sebegini dibuat berdasarkan maklumat daripada Pangkalan Data Utama (PADU) yang dikatakan gagal?

“Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berpendirian kenaikan harga diesel secara mendadak ini sangat membebankan rakyat terbanyak dan bakal memberikan kejutan ekonomi.

“Jika Pakatan Harapan tidak dapat menunaikan janji #turunhargaminyak, maka #turunkanPMX. Selepas ini apa pula? RON95?” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -