Isu diesel: Alasan RM8 bilion lesap tak masuk akal

Isham Jalil
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Alasan yang diberikan kerajaan dalam menaikkan harga diesel ke RM3.35 seliter telah menimbulkan banyak persoalan.

Bekas Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, Pengarah Kanan Ekonomi Perdana Menteri, Nurhisham Hussien telah menyatakan bahawa jumlah subsidi diesel setahun adalah RM15 bilion, dan separuh daripadanya iaitu antara RM7 hingga RM8 bilion lesap (mengalami ketirisan) susulan kes penyeludupan.

“Kononnya sebab itu kerajaan naikkan harga diesel kepada RM3.35 seliter. Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri iaitu dari manakah beliau mendapat angka-angka ini?” katanya.

- Advertisement -

Menurut beliau, sekiranya RM8 billion subsidi diesel lesap akibat daripada penyeludupan di sempadan, maka ini bermakna sebanyak 7 hingga 8 billion liter diesel yang diseludup keluar dari negara ini setiap tahun.

Tambahnya, angka sebegini juga bermaksud sebanyak 600 juta liter sebulan atau 20 juta liter sehari diseludup keluar melalui sempadan Thailand atau di laut.

“Saya dapati angka-angka sebegini tidak masuk akal. Sebagai contoh, satu lori besar atau treler ada kapasiti tangki minyak dalam 500 hingga 600 liter.

“Kalau penyeludup seludup 20 juta liter sehari seperti di atas maksudnya 40,000 lori besar dan treler seludup minyak keluar dari sempadan negara kita setiap hari.

“Kalau ada 40,000 lori masuk keluar Thailand dari Malaysia setiap hari, tentulah jalan masuk keluar sempadan itu akan sesak setiap hari lebih dari di Tol Gombak dua kali setahun pada musim raya. Kalau di laut pun, ada tak sesiapa nampak 40,000 bot bawa lari diesel ke Thailand setiap hari?

“Andaikan jika benar perkara ini berlaku
sekali pun, takkan pihak berkuasa boleh tengok sahaja 40,000 lori seludup keluar diesel setiap hari di sempadan?

“Jika pihak berkuasa buat begini, ada sesuatu yang amat tidak kena dengan penguatkuasaan sempadan. Oleh sebab itu saya mendapati angka-angka ini mengarut dan merepek,” jelasnya.

Beliau menyatakan bahawa terdahulu, kerajaan berkata ada 40,000 pengundi Bangladesh ‘diseludup’ untuk mengundi tetapi kini mendakwa terdapat 40,000 ‘lori hantu’ seludup diesel di sempadan setiap hari.

Kata beliau lagi, sekiranya terdapat masalag penyeludupan maka ia perlu diselesaikan dengan penguatkuasaan iaitu menekan dan menangkap penyeludup itu sendiri.

“Itu yang seharusnya dilakukan dan bukannya menaikkan harga diesel secara mendadak sehingga RM3.35 seliter dan tekan rakyat secara keseluruhan dengan kenaikan harga.

“Menteri kata kerajaan jamin barang tidak akan naik harga. Saya ingin tanya dia macam mana dia boleh jamin barang tidak naik harga?

“Jika barang naik harga adakah dia akan bayar balik kenaikan ini?” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -