I-CREATE 2024 capai matlamat perniagaan pelajar UMK

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dianggarkan sebanyak RM200,000 bakal diperolehi daripada hasil jualan menerusi aktiviti perniagaan dan keusahawanan penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

- Advertisement -

Jualan terkumpul itu bakal diraih menerusi Program International Convention on Resourceful Entrepreneurs Achieving Tomorrow’s Excellence (I-CREATE 2024) yang membabitkan 2,183 para pelajar daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) UMK.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, aktiviti jualan itu jelas menunjukkan penganjuran I-CREATE 2024 telah berjaya mencapai tujuan utamanya iaitu berkongsi penghasilan produk-produk perniagaan pelajar usahawan.

Katanya, pada masa yang sama pihak fakulti berusaha mengembangkan aktiviti keusahawanan di kalangan pelajar FKP.

Katanya, para pelajar diberi pendedahan melalui pembentangan inovasi dan produk keusahawanan serta perkongsian pengalaman masing-masing dalam memulakan perniagaan bersama agensi atau industri.

“Dalam erti kata lain, pelajar akan dapat mengaplikasikan pembelajaran dan teori-teori keusahawanan dalam kuliah kepada bentuk perniagaan sebenar, yang melibatkan perancangan, pelaksanaan, dan penilaian terhadap strategi perniagaan.

“Melalui proses ini, mereka akan memahami cabaran dan peluang yang wujud dalam dunia perniagaan sebenar,” katanya lagi.

Selain itu tambahnya, program itu mampu memperluaskan kefahaman pelajar terhadap dunia keusahawanan dan perniagaan yang sebenar melalui pengalaman praktikal.

Tambahnya, pelajar akan terlibat dengan penyelesaian masalah dalam perniagaan serta belajar daripada sistem perniagaan yang berjaya.

“Ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran praktikal mereka tetapi juga menyediakan asas yang kukuh untuk menjadi usahawan yang berjaya,” katanya pada Majlis Perasmian Konvensyen I-CREATE 2024.

Program berkenaan bertemakan Trailblazers Unleashed: Pioneering the Future of Entrepreneurship yang diadakan di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Dekan FKP, Prof Madya Ts Dr Zailani Abdullah, Ketua Pengarah I-CREATE 2024, Dr Shah Iskandar Fahmie Ramlee dan Ahli Lembaga ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.

Sementara itu, Dr Shah Iskandar Fahmie berkata, program I-CREATE 2024 bermula 10 hingga 13 Jun 2024 telah diadakan buat julung kalinya oleh FKP di mana ianya melibatkan gabungan daripada lima program akademik fakulti serta satu kursus umum keusahawanan.

Katanya, program itu melibatkan penganjuran sebanyak tujuh projek utama yang berbentuk pertandingan inovasi, ekspo keusahawanan, sesi perkongsian bersama industri dan pembentangan poster berdasarkan khidmat komuniti.

“Program ini juga telah melibatkan kerjasama antara pensyarah dan pelajar dari Fakulti Keusahawanan Perniagaan bersama industri dan komuniti yang menggabungkan tujuh sub program iaitu Carnival of Megapreneurship and Innovation (COMEI 3.0), Initiative for Meaningful Project and Community Transformation (IMPACT), Nascent Entrepreneurial Week (NEWeek) dan Revolutionizing Ideas and Startup Excellence (RISE).

“Selain itu, turut diadakan program Accounting, Banking, and Islamic Finance Festival (AIFIF), Jom Franchise Exhibition Day (JFED) dan Regional Seminar on Management and Supply Chain (ResoMac),” katanya.

Menurutnya, seiring dengan pertumbuhan pesat pemasaran digital pada hari ini, FKP menerusi kerjasama bersama pihak KNKV Group telah menganjurkan bengkel pemasaran digital kepada pelajar untuk menerokai bidang yang berpotensi besar dalam menjamin kelestarian perniagaan yang bakal dijalankan oleh mereka.

“Usahawan telah menunjukkan kebolehsuaian yang luar biasa dengan menambahbaik model perniagaan, menerima transformasi digital dan mencari idea baharu untuk memenuhi kehendak pelanggan mengikut situasi dan keperluan semasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -