Gugur 7 wakil rakyat Bersatu: Surat kepada Speaker secepat mungkin

Muhyiddin dalam sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur pada 11 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bersatu akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat, selain Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan juga Kelantan secepat mungkin mengenai status tujuh wakil rakyatnya yang digugurkan keahlian dalam parti.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya sebelum itu akan menghantar notis kepada tujuh wakil rakyat terbabit dalam tempoh sehari dua lagi untuk memaklumkan mengenai pengguguran keahlian masing-masing.

- Advertisement -

“Tindakan yang diambil itu bukanlah bersifat terburu-buru kerana parti hanya berbuat demikian selepas mendapat nasihat undang-undang, selain mengikuti prosedur diperlukan,” katanya selepas mesyuarat majlis pimpinan Perikatan Nasional (PN), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad; Naib Presiden Bersatu, Dr. Radzi Jidin; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.

Terdahulu, tujuh wakil rakyat Bersatu telah digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Enam daripada tujuh wakil rakyat berkenaan membabitkan Ahli Parlimen terdiri daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Zahari juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri di Kelantan.

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian Bersatu ialah Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurut Muhyidin, beliau telah menerima laporan daripada Setiausaha Agung PN berhubung kedudukan isu kesemua enam Ahli Parlimen dan ADUN terbabit dan akan mengambil tindakan susulan terhadap mereka.

“Surat-surat untuk memberitahu kesemua Ahli Parlimen dan ini mengenai status mereka yang sudah pun terhenti (keahlian telah gugur) akan dihantar secepat mungkin dalam masa sehari dua ini.

“Selepas itu kita akan menyampaikan perkara tersebut kepada Speaker Parlimen Malaysia mengenai status enam Ahli Parlimen tersebut manakala Speaker DUN Selangor bagi kerusi Selat Klang dan Speaker DUN Kelantan bagi kerusi Nenggiri,” katanya. -HARAKAHDAILY 11/2/2-24

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -