KUALA LUMPUR: Kerajaan harus meminimakan kesan rantaian penghapusan subsidi minyak diesel yang bakal mengakibatkan kos sara hidup rakyat meningkat berkali ganda.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengumuman Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkenaan kenaikan harga baharu diesel mulai semalam sangat meresahkan rakyat.
“Alasan kerajaan PH-BN mengatakan bahawa ia proses mengurangkan penyeludupan diesel di semenanjung menjadi suatu persoalan.
“Sepatutnya kerajaan perlu terus mempertingkatkan lagi penguatkuasaan di sempadan bagi membendung penyeludupan ini berbanding menghapuskan subsidi, bukan dengan cara menghapuskan subsidi,” katanya.
Menurutnya, rakyat seperti sudah jatuh ditimpa tangga, ketika desakan hidup semakin meningkat melalui harga barang yang semakin mahal, kini tiba pula penghapusan subsidi diesel.
Tambah Tuan Ibrahim, PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) seperti biasa terus menerus menyalahkan pihak yang mempersoalkan penyasaran subsidi minyak.
“Jika hari ini beliau mengatakan menghapuskan subsidi minyak demi menyelamatkan negara, adakah beliau mengakui bahawa ucapan beliau selama ini ketika menjadi pembangkang yang menentang penghapusan subsidi berniat untuk merosakkan negara?
“Perancangan kerajaan membantu rakyat seperti petani dilihat tidak membantu mencegah impak kenaikan harga bahan diesel,” jelasnya..
Ini kerana menurut beliau, bantuan subsidi melalui BUDI Agrikomoditi yang diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil sebagai contoh dilihat hanya sesuai untuk pemilik kenderaan yang menggunakan cc rendah serta melakukan perjalanan yang dekat sahaja.
Beliau dalam pada itu turut mengatakan bahawa syarat yang ditetapkan untuk petani ini sangat tidak munasabah apabila mereka yang hanya menghasilkan jualan sehingga RM4,166 sebulan sahaja layak mendapat subsidi minyak.
“Saya khuatir pekebun kecil di luar sana tidak dapat memenuhi syarat untuk menerima subsidi tersebut seterusnya menekan kehidupan mereka ketika mana biaya operasi yang semakin tinggi dan harga pasaran yang rendah,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!