Belajar dari Pendang sebar luas pengaruh PAS

- Advertisement -

PENDANG: PAS Kawasan Pendang disifatkan sebagai antara terbaik di Kedah dan seluruh negara atas sejarah perkembangan tersendiri khususnya berkenaan keahlian dan pengurusan organisasi.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dr Mohd Suffian Yusoff berkata, PAS Pendang kini diterajui pemimpin berkarisma iaitu Yang Dipertua, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman.

Pemimpin itu kongsinya, pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, serta wakil rakyat senior di mana kini selaku ADUN Tokai selain berlatarbelakang profesional doktor perubatan.

Manakala Timbalan Yang Dipertua PAS Pendang, Datuk Awang Hashim pula katanya, adalah bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia dan berpengalaman luas dalam bidang perakaunan dan kewangan.

Awang yang pernah juga berjawatan sebagai Naib Presiden Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) ujarnya, berjaya mengekalkan status sebagai Ahli Parlimen Pendang sejak PRU14 lagi.

“Legasi kepimpinan PAS Kawasan Pendang merupakan kesinambungan daripada mantan Presiden PAS, Alnarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor yang pernah menjadi Ahli Parlimen Pendang, suatu ketika dahulu.

“Sekarang legasi baru mewarisi Almarhum Ustaz Fadzil terus mengukuhkan PAS Pendang yang merupakan antara kawasan yang mempunyai jumlah Cawangan berdaftar yang tinggi di Malaysia.

“PAS Pendang mempunyai melebihi 160 Cawangan dan jumlah ahli aktif yang mencecah hampir 20,000 orang,” jelas beliau yang juga ADUN Bandar Baharu dan bekas profesor kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM).

Justeru, Dr Suffian yang kini menerajui PAS Kawasan Kulim-Bandar Baharu selaku Yang Dipertua menyeru agar PAS Kawasan di seluruh negara mencontohi PAS Pendang dalam menyebarluaskan pengaruh.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kali Ke-40 yang diadakan di Dewan An-Nur, Kampung Gajah Mati, di sini kelmarin dahulu.- HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -