‘Bantuan diesel RM200: Harap tiada individu tercicir’ 

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Selangor berharap tidak ada individu yang tertinggal daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan berhubung isu subsidi diesel.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata rakyat yang terkesan dalam isu ini dan permohonan yang tidak menyebelahi mereka perlu dibantu dengan sebaiknya. 

- Advertisement -

“Kerajaan juga tidak boleh menutup mata soal mengatasi masalah penyeludupan diesel. 

“Penyasaran subsidi diesel kepada rakyat sendiri akan menjadi suatu penindasan sekiranya kerajaan masih gagal mengatasi masalah utama aktiviti penyeludupan minyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Zurk berkata, matlamat penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan bakal memindahkan tanggungjawab yang sepatutnya diuruskan kerajaan, malah kini menjadi beban kepada rakyat.

“Kerisauan wujud berkaitan kaedah pelaksanaannya yang berkemungkinan menyusahkan rakyat seperti Budi Madani (BUDI) dan diesel bersubsidi menerusi penggunaan ‘fleet card’.

“Budi Madani RM200 mungkin boleh menampung kos melambung kepada pengguna kecil. Bagaimana pula nasib pengguna berat yang dikategorikan tidak layak berdasarkan kriteria pemohon yang telah ditetapkan.

“Begitu juga inisiatif ‘fleet card’ yang bakal menyukarkan sesetengah syarikat kecil untuk memohon berdasarkan maklumat dan dokumen yang diperlukan untuk permohonan,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya dihukum untuk menanggung harga barang yang berpotensi lebih tinggi selepas ini kerana telah membantu kerajaan untuk berjimat tanpa subsidi, malah rakyat perlu terus berjimat untuk menampung kehidupan.  

Tambah beliau, kesan negatif yang bakal berlaku ke atas ekonomi dan hidup disebabkan penyasaran subsidi harus diatasi segera dan menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.

“Rakyat sedang menderita dengan pelbagai isu ekonomi yang tidak berkesudahan dan bantuan subsidi telah menjadi talian hayat rakyat sejak lama. 

“Sekiranya inisiatif kali ini terbabas daripada tujuan membantu rakyat, jangan ditambah lagi beban rakyat dengan situasi tidak menentu akibat kerakusan tindakan kerajaan. Jangan ditambah derita rakyat yang sudah pun terbeban,” katanya. 

Pemberian bantuan BUDI sebanyak RM200 bermula hari ini kepada pengguna diesel yang layak khususnya pemilik kenderaan diesel individu, petani dan pekebun kecil.

Meskipun harga diesel ditetapkan pada RM3.35 seliter bermula hari ini, namun sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi menerusi penggunaan ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Pendaftaran bagi BUDI dibuka pada 28 Mei lepas dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -