Apa motif sebenar kaitan PADU, BUDI, isu subsidi diesel?

Mohd Syahir Che Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat mula sangsi dan tertanya-tanya apakah motif sebenar pengumpulan maklumat peribadi yang ‘unik dan identikal’ ke dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan Budi Madani (BUDI) berhubung isu subsidi diesel.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, sistem tersebut meliputi maklumat pekerjaan, pendidikan, pendapatan bersih, jumlah tanggungan, komitmen hutang, model kenderaan, lokasi kediaman serta jarak tempat kerja bagi setiap isi rumah.

- Advertisement -

“Saya datangkan contoh pengiraan, Encik Razifi dan Encik Lim (bukan nama sebenar) kedua-duanya mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan, memiliki model kenderaan Myvi 1.3 liter yang sama, tinggal berjiran dan bekerja di kilang yang bersebelahan, jaraknya 20 kilometer dari rumah mereka.

“Bezanya, Encik Razifi mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah, manakala Encik Lim hanya mempunyai seorang anak.

“Persoalan saya, adakah jumlah bantuan subsidi petrol (PADU Madani) yang akan disalurkan kepada Encik Razifi dan Encik Lim, ditetapkan pada nilai RM100 yang sama rata atau pada kadar yang ‘unik dan identikal’ mengikut keperluan dan tanggungan?

“Sama ada jumlahnya mencukupi ataupun tidak, itu suatu topik perbahasan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ketua Portfolio Perikatan Nasional Ekonomi turut mempersoalkan adakah tujuan mengisi maklumat dalam sistem tersebut adalah untuk mendapatkan penyasaran bantuan subsidi atau hanya penyasaran data peribadi pengundi.

Beliau juga meminta agar Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk menjelaskan secara terperinci berhubung tujuan isi maklumat dalam sistem tersebut.

“Sebagai seorang teknokrat yang disegani, mohon jawapan ikhlas daripada Yang Berhormat Senator Menteri,” katanya.

Sementara itu, Syahir juga mempersoalkan mengapa kerajaan memberi bantuan subsidi diesel RM200 secara pukul rata.

“Pertanyaan saya bukanlah tentang bantuan RM200 Budi Madani mencukupi ataupun tidak, kerana Yang Berhormat Menteri pun sudah tahu jawapannya, malahan tertakluk jua kepada kemampuan kewangan di pihak kerajaan.

“Mengapa bantuan RM200 Budi Madani ini diberikan secara pukul rata tanpa mengira tahap pendapatan, tujuan penggunaan, lokaliti dan jarak, serta jenis dan kuasa enjin kenderaan, bagi setiap pemilik yang layak?

“Adakah kaedah penyaluran secara sama rata juga akan digunakan untuk pemberian bantuan subsidi petrol (PADU Madani), diandaikan RM100 sebulan, bagi setiap isi rumah yang layak?,” soalnya.

Bermula semalam, harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 per liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Susulan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif Budi Madani bertujuan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada mereka yang layak dan mengurangkan beban golongan yang memerlukan dengan pemberian RM200 bantuan tunai bulanan.

Pendaftaran bagi Budi Madani dibuka pada 28 Mei lepas dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu. – HARAKAHDAILY 11/6/2024

- Advertisement -