Warganet luah kecewa harga diesel naik mendadak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebelum ini Pakatan Harapan (PH) antara pihak yang lantang menyuarakan bantahan keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) menghapuskan subsidi petrol RON95 dan diesel.

- Advertisement -

Seorang pemimpin PKR antara lain menyebut tindakan menghapus subsidi petrol dan diesel adalah terkutuk, tidak bertanggungjawab.

Rafizi Ramli pada kenyataan bertarikh 21 November 2014 mengecam keputusan kerajaan BN yang disifatkan mengorbankan kebajikan dan kepentingan rakyat.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebelum ini pemimpin PH paling menentang langkah kerajaan menghapus subsidi petrol dan diesel.

Malah tinjauan di media sosial ramai warganet meluahkan kecewa kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 seliter mulai jam 12.01 tengah malam tadi.

Di sebuah stesen minyak di Kok Lanas malam tadi banyak kenderaan enjin diesel beratur panjang bagi mengisi minyak sebelum jam 12 malam.

Petang semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sidang media khas berkata, harga diesel diselaras mengikut pasaran semasa, dengan harga permulaan di Semenanjung RM3.35 seliter.

Harga tersebut meningkat sebanyak RM1.20 seliter berbanding RM2.15 seliter sebelum ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 21 Mei lepas menyatakan Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan subsidi diesel bersasar yang mampu memberi penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun.

Media melaporkan kira-kira 30,000 pemilik kenderaan diesel individu bakal menerima RM200 bantuan tunai bulanan pertama menerusi Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) bermula hari ini. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -