Tragedi bas: Pelukan terakhir ‘saya nak pergi dah’

- Advertisement -

MASJID TANAH: Permintaan Allahyarham Dahlia Ahmad, 52, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram yang terlibat dalam kemalangan bas pada Ahad agar suami memeluknya sebelum berangkat, menjadi permintaan terakhir Allahyarham.

- Advertisement -

Suami Allahyarham, Zul Sham Mahat, 56, berkata, peristiwa itu berlaku semasa Allahyarham mahu meninggalkan rumah pada Sabtu untuk mengikuti rombongan tersebut.

“Sebelum arwah ni pergi, dia salam, dia cium tangan, dia tanya saya kenapa tak peluk dia? Dia kata ‘saya nak pergi dah’. Saya sangka dia cakap tu bergurau sahaja.

“Sebab kebiasaannya salam, cium tangan, itu saja. Rupanya itu permintaan terakhir dia sebelum dia meninggalkan saya selamanya,” katanya kepada wartawan.

Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Masjid Tanah itu berkata, beliau mendapat makluman kemalangan yang berlaku apabila dihubungi dari salah seorang kemalangan iaitu juga rakan Allahyarham pada kira-kira jam 5 pagi Ahad.

Tambah beliau, daripada maklumat diberi pegawai perubatan yang merawat isterinya itu, kematian Allahyarham adalah disebabkan pendarahan dan berlaku darah beku di bahagian perut dan disahkan meninggal dunia pada jam 9:07 malam pada Ahad.

Mengulas mengenai sifat isterinya itu, Zul Sham berkata, Allahyarham Dahlia seorang suka membantu orang terutama anak-anak muridnya yang dalam kesusahan.

“Alhamdulillah, saya percaya isteri saya seorang yang baik, suka tolong orang, tolong anak-anak murid dia. Kita boleh tengok ramai bekas-bekas anak murid dia yang datang ziarah, datang ke tanah perkuburan hari ni,” katanya.

Katanya, Allahyarham yang merupakan guru agama itu baru sahaja bertukar ke SK Jeram awal tahun ini dan sebelum ini sudah berkhidmat selama sembilan tahun di SK Sri Laksamana Masjid Tanah.

Hasil perkongsian hidup beliau bersama Allahyarham selama 23 tahun, mereka telah dikurniakan lima orang anak berumur antara 14 dan 23 tahun dengan anaknya yang terakhir Ahmad Adam Adham, 14, adalah anak istimewa.

Tambah Zul Sham, beliau tidak pasti sama ada Adam memahami pemergian ibunya itu, namun anaknya itu ada ketika menzahirkan kesedihan.

“Mulanya okay, bila orang ramai datang, bila cikgu dia datang dia mula sebak. Saya tengok dia masuk bilik seorang diri, dia tengok gambar mak dia dan dia nangis,” katanya.

Jenazah Allahyarham yang tiba pada jam 5:00 pagi tadi dari Kuantan telah disembahyangkan di Masjid Sungai Tuang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tuang sekitar jam 11 pagi tadi.

Pegawai-pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan guru-guru dari beberapa sekolah sekitar yang merupakan kenalan Allahyarham turut dilihat hadir ke rumah Allahyarham di Kampung Sungai Tuang.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman dan Setiausaha PAS Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz.

Juga Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Norfaizal Nordin, Setiusaha Kerja PASTI Melaka, Anas Abdullah dan Shamshahir Shamsudin yang mewakili Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Berdasarkan laporan media, bas tersebut terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah pada awal pagi Ahad.

Kata laporan itu, bas tersebut yang membawa 37 penumpang dan dua pemandu itu dilaporkan terbabas dan terjunam ke bawah cerun di Kilometer (KM)126 Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga ke Bahau.

Sehingga berita ini ditulis empat mangsa yang terlibat telah disahkan meninggal dunia dengan seorang dari mereka iaitu seorang guru, Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang meninggal dunia di tempat kejadian. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -