‘Tidak salah Amerika Syarikat sambut kemerdekaan…’

Hishamuddin Rais dalam sidang media perhimpunan Protes Senyap Sambutan Kemerdekaan Amerika Syarikat, di Kuala Lumpur pada hari ini, 10 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tidak salah Amerika Syarikat (AS) ingin menyambut kemerdekaan pada hari ini… tetapi itu bukan bermakna mereka boleh bersekongkol dengan negara haram Israel.”

Aktivis, Hishamuddin Rais berkata, kerajaan AS telah banyak menyumbang senjata dan kewangan kepada negara haram Israel dalam membunuh ramai rakyat Palestin.

- Advertisement -

“Itu sebabnya kami akan terus bersuara supaya nak tunjukkan kepada kuasa besar ini bahawa majoriti rakyat Malaysia bersama-sama rakyat Palestin,” katanya.

Menurut beliau, kezaliman negara haram tersebut tidak boleh dibiarkan begitu sahaja memandangkan majoriti rakyat negara ini amat benci terhadap mana-mana pihak yang melakukan sedemikian.

Tambahnya, rakyat AS sendiri telah mula bersuara menentang kerajaan mereka kerana bersekongkol dengan rejim Zionis Israel dalam melakukan pembantaian terhadap rakyat Palestin.

“Seharusnya kerajaan AS perlu sedar bahawa mereka juga pernah dijajah sehinggalah seluruh rakyatnya bangkit dan melawan serta memperoleh kemerdekaan.

“Malah, rakyat AS sendiri juga bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin tetapi mengapa kerajaan mereka pula bersifat sebaliknya terhadap rakyat Palestin?

“Rakyat Palestin mempunyai hak ke atas tanah air mereka tetapi tergamak AS bersekongkol dengan rejim Zionis untuk menzalimi rakyat Palestin,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perhimpunan Protes Senyap Sambutan Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS), di sini, pada hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia Nadzir Helmi; Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA) Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard), Datuk Tun Faidal Ismail, Penolong Setiausaha Armada Bersatu Nasional, Faiz Rahmad; dan Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Gulab Jan Fazal Eladi.

Hishamuddin menyatakan, majoriti rakyat negara ini tidak akan sama sekali bersekongkol dengan apa jua kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

Kata beliau lagi, rakyat Malaysia akan terus menggesa supaya diadakan gencatan senjata agar pembunuhan beramai-ramai tidak terhadap rakyat Palestin terus dihentikan serta merta.

“Apa pun, saya tidak akan berhenti menyokong perjuangan rakyat Palestin dan sebarang syarikat yang pro-Zionis tidak dialu-alukan dalam negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -