Subsidi diesel: ‘Adakah mereka semua dapat kad fleet?’

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Berapa peratus daripada komponen pengangkutan logistik selain daripada syarikat besar yang diberikan taklimat dan kemudahan subsidi seperti kad fleet bagi menangani masalah kenaikan harga barang dapat ditangani sehingga tidak memberi kesan akhir kepada rakyat.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata demikian mengulas berhubung kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam pelaksanaan pemberian diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 melibatkan sembilan jenis kenderaan sektor pengangkutan darat.

“Saya tengok bahawa disebut bagi syarikat pengangkutan yang terlibat dalam logistik ini diperkenalkan kad fleet untuk dapat pada harga kekal subsidi iaitu RM2.15 seliter.

“Soalan saya, syarikat logistik di dalam negara ini banyak, daripada syarikat logistik yang besar yang tersusun sehingga syarikat lain termasuk lori pak mat (orang biasa) yang bawa barang, jadi adakah mereka semua ini akan dapat kad fleet yang berkenaan, yang akan membolehkan mereka menikmati subsidi?” soalnya dalam satu hantaran di laman sosialnya.

Bermula tengah malam tadi, harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia, ditetapkan pada RM3.35 seliter.

Sementara itu, seramai 30,000 penerima Budi Madani individu dan Budi Agri-Komoditi meliputi petani dan pekebun kecil komoditi menjadi kumpulan pertama menerima bantuan bulanan RM200 yang didepositkan ke akaun masing-masing mulai tengah malam tadi.

Inisiatif bantuan tunai Budi Madani individu RM200 sebulan diberikan kepada warganegara yang memiliki kenderaan diesel persendirian untuk menampung peningkatan perbelanjaan bahan api diesel, manakala petani dan pekebun kecil komoditi menerima bantuan tunai Budi Agri-Komoditi bagi mengurangkan kesan kepada punca pendapatan.

Amzad turut melahirkan kembimbangan terhadap bantuan tunai yang disalurkan melalui Budi Madani untuk mereka yang layak.

“Sekarang ini disebut untuk fasa pertama yang melalui Budi Madani ini. RM200 subsidi akan dimasukkan kepada seramai 30,000 penerima bersamaan RM6 juta.

“RM6 juta sebulan berbanding apa yang ditanggung oleh ekonomi secara keseluruhannya kepada rakyat terbanyak lebih-lebih lagi dalam bentuk kos diesel itu sendiri yang sudah tentu ia akan jadi kesan rantaian bertimbun-timbun mengakibatkan kenaikan harga.

“Jadi berapa ramai yang telah mendaftar dengan Budi Madani kerana sebelum ini sistem Padu boleh dikatakan hauk, ramai yang tidak mendaftar dan ada negeri seperti Sarawak misalnya tidak menyembunyikan bahawa mereka sangsi terhadap Padu.

“Adakah ini akan dijadikan alasan kepada kerajaan? Kerajaan akan kata bukan tak nak bagi tetapi pihak yang berkenaan yang sepatutnya mendaftar, tidak mendaftar, dipersalahkan balik,” ujarnya.

Justeru, tegas beliau perkara itu perlu ditangani supaya rakyat tidak menjadi mangsa sehingga menyebabkan mereka tidak menikmati apa yang sepatutnya diperolehi.

“Ini adalah isu yang besar kerana ia melibatkan rantaian yang besar berkaitan dengan kos kehidupan rakyat.

“Jadi di sebalik kita faham tujuannya supaya subsidi dinikmati oleh mereka yang sepatutnya dalam masa yang sama mereka yang sepatutnya ini mesti dipastikan tidak ada yang tercicir.

“Dalam masa yang sama pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memantau kenaikan harga barang ini menjalankan kerja dengan sebaiknya, jangan tiba-tiba rakyat menanggung kos yang tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -