Siaga 211 persiap penduduk tangani awal bencana

- Advertisement -

KUBANG PASU: Kampung atau Komuniti Siaga 221 merupakan satu pendekatan untuk melatih serta memberi pendedahan kepada penduduk agar memiliki pengetahuan menangani bencana atau kecemasan.

- Advertisement -

ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, program berkenaan merupakan pelan jangka panjang yang dilaksanakan berdasar Dekad Platinium Pertahanan Awam 2022-2032.

“Di daerah Kubang Pasu ini bencana serta cabaran yang kerap berlaku adalah banjir. Berbeza di negara lain, cabaran bencana lebih hebat seperti gempa bumi dan kebakaran hutan yang melibatkan beratus-ratus ekar.

“(Malah bencana seperti itu) hingga menjejaskan ekonomi mereka,” ujarnya ketika berucap merasmikan program Kampung Siaga 221, Komuniti Berdaya Tahan Bencana di Kampung Paya Tok Teh, Mukim Malau, Jitra, kelmarin.

Justeru tambah Dr Haim, sekurang-kurangnya seorang dalam ahli keluarga digalakkan mempunyai pengetahuan dan dilatih mengenai bencana, kemalangan kecil atau hal kecemasan.

Dalam pada itu, beliau merasa amat bertuah kerana Kampung Paya Tok Teh, terpilih sebagai kampung pertama di daerah ini di bawah program tersebut oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) sekali gus menjadi daerah keempat di Kedah.

“Usaha bersama APM ini adalah untuk memberi komitmen kita bagi membolehkan kehidupan dan harta benda dapat diuruskan dengan baik serta memahami pendekatan yang diambil apabila berlaku bencana.

“Kebanyakan tempat di sini struktur tanahnya rendah dan berisiko berlaku banjir dan kita mengharapkan apabila Rancangan Tebatan Banjir (RTB) siap dilaksanakan nanti, risiko banjir dapat dibaiki dan diatasi,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada APM Kubang Pasu atas kejayaan menganjurkan program tersebut.

Kampung atau Komuniti Siaga 221 diperkenalkan APM bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan latihan kecemasan kepada penduduk di kawasan bandar mahupun kampung yang berisiko menghadapi bencana serta terdedah ancaman keselamatan setempat.

Program itu sebagai persediaan awal kepada masyarakat tersebut sebelum mereka menerima bantuan daripada agensi keselamatan berhampiran.

Turut hadir Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Mahazi Ibrahim dan Timbalan Pengarah APM Kedah, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi serta Pegawai APM Daerah Kubang Pasu, Muhammad Akmal Ismail. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -