Selesaikan ketirisan kos subsidi diesel: Rakyat pula dibebani

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Rakyat mengambil maklum berkenaan beban Kerajaan Persekutuan yang terpaksa menanggung kos subsidi diesel sebanyak RM1 bilion sebulan dengan anggaran ketirisan mencecah RM4.5 juta sehari.”

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, timbul persoalan kenapa beban tersebut dialihkan kepada rakyat sedangkan tugas utama Kerajaan Persekutuan pada waktu ini adalah mengelakkan ketirisan yang berlaku itu.

- Advertisement -

“Oleh itu, cadangan saya agar penyasaran subsidi diesel ini ditangguhkan dahulu agar usaha dan perancangan menangani isu ketirisan serius secara menyeluruh di seluruh negara dilaksanakan secepat mungkin, terutamanya daripada aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran yang dianggarkan berjumlah kira-kira tiga juta liter sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian, susulan keputusan kerajaan memulakan langkah penyasaran subsidi diesel bermula tengah malam tadi menerusi pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Harga diesel meningkat kepada RM3.35 seliter berbanding RM2.15 sebelum ini, iaitu bertambah sebanyak RM1.20 seliter; sementara harga diesel juga dijangka akan dikemas kini mengikut minggu sama seperti harga petrol RON97.

“Selaku wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat kebanyakan, secara tegas saya ingin menyatakan kegusaran dan kebimbangan berkaitan pelaksanaannya terutama impak negatifnya ke atas kehidupan rakyat,” tegasnya.

Pengumuman yang dibuat, ujar beliau, tatkala majoriti rakyat negara ini masih bergelut dengan pelbagai isu berkaitan kos sara hidup hanya akan menambahkan lagi tekanan buat mereka.

“Dalam masa sama menjadi kebimbangan saya jika ada pihak-pihak yang menangguk di air keruh, terutamanya oleh pihak peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang keperluan sesuka hati atas alasan harga diesel naik walaupun pada hakikatnya bukan semua peniaga terkesan dengan pengumuman ini,” hujahnya. 

Beliau justeru, menggesa agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus bekerja keras bagi memastikan situasi harga barang keperluan naik sewenang-wenangnya tidak berlaku.

“Insya-Allah, saya komited untuk terus-menerus membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen akan datang kerana saya berpendapat, Kerajaan Persekutuan hari ini seharusnya mencari jalan bagi memudahkan urusan kehidupan seharian rakyat, bukanlah menambah beban rakyat yang sudah terlalu berat ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -