Selepas diesel, petrol menyusul: Mampukah rakyat bertahan?

Rakyat resah dengan kenaikan mencanak harga diesel yang dikhuatiri boleh menyebabkan harga petrol pula naik. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Selepas diesel, petrol sudah pasti menyusul. Hal ini berdasarkan komitmen yang dizahirkan Menteri Ekonomi sendiri. Dalam keadaan kenaikan kos sara hidup semakin berganda dalam masa yang singkat, apakah rakyat mampu bertahan?”

Profesional Istiqamah dalam kenyataannya berkata, langkah rasionalisasi subsidi secara dasar dan teorinya adalah langkah yang perlu dibuat demi mengoptimumkan dana kerajaan, yang difahami semua individu dan rakyat Malaysia.

- Advertisement -

“Namun begitu, langkah rasionalisasi subsidi yang dilakukan Kerajaan Madani dengan terma apa yang dikenali sebagai ‘penyasaran subsidi’ menyimpang sama sekali daripada objektif asal rancangan ini. 

“Bahkan, penyasaran subsidi ala Madani mendedahkan lagi kepincangan dan kelemahan politikus Kerajaan Madani

“Mengapa ia menyimpang? Hal ini berdasarkan beberapa perkara,” ujar kenyataan itu.

Menurutnya, pertama adalah berdasarkan kepada penarikan subsidi diesel yang kini telah melonjakkan harga diesel sebanyak RM1.20/liter. 

“Peningkatan hampir 50 peratus. Merujuk diesel adalah kos utama dalam perkiraan logistik, justeru kenaikan kos pengeluaran pasti meningkat. 

“Namun begitu, kerajaan baru sahaja turut telah melaksanakan beberapa polisi yang telah meningkatkan beban kos sara hidup rakyat iaitu peningkatan tarif elektrik dan air, perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan pengenalan pelbagai cukai baharu. 

“Justeru, apakah poket rakyat mampu mengejar kenaikan berganda dalam tempoh tidak sampai setahun ini?” soalnya.

Tambah kenyataan itu, yang kedua berdasarkan kepada peniaga-peniaga kecil khususnya akan menjadi kumpulan paling terjejas, yang mana pertambahan kos ini sudah pasti akan dipindahkan kepada pengguna akhir iaitu rakyat sendiri.

“Ketiga, berdasarkan kepada penyasaran subsidi diperkenalkan dalam keadaan mekanisme subsidi bersasar negara masih mentah. 

“Kedudukan kewangan dan ekonomi rakyat dikhuatiri tidak dapat ditampung dengan nilai bantuan subsidi yang bernilai RM200 sebulan sahaja,” jelas kenyataan itu.

Profesional Istiqamah menyatakan lagi bahawa penyasaran subsidi ala Madani juga mendedahkan kelemahan pentadbiran kerajaan dan terhakis teruknya nilai akauntabiliti dalam kerajaan Madani.

Kelemahan pertama, ujarnya, mekanisme subsidi bersasar yang tidak jelas. 

“Jika dahulu PADU dikatakan sebagai asas untuk mekanisme subsidi bersasar. Namun kali ini, rakyat perlu mengisi borang BUDI MADANI pula. Ini adalah petanda jelas ketidakselarasan kerajaan dalam melaksanakan polisi yang telah diluluskan,” katanya.

“Kelemahan kedua ialah komunikasi yang tidak telus terhadap rakyat. 

“Berkali-kali kenaikan harga minyak dinafikan. Namun, setelah selesai pilihanraya kecil, barulah kerajaan berani untuk jujur. 

Apakah langkah rasionalisasi subsidi ini hanya mainan politik pada mata politikus kerajaan? Rakyat memerlukan sebuah pentadbiran yang mempunyai nilai akauntabiliti dan jujur dalam berkomunikasi dengan rakyat,” hujah kenyataan itu.

Kelemahan ketiga, ujar kenyataan itu ialah prinsip perjuangan dan janji yang dilanggar tanpa rasa malu. 

“Tiada permohonan maaf diberikan apabila prinsip perjuangan memartabatkan subsidi sebagaimana dicanangkan bertahun lamanya dengan mudah dilanggar. 

“Bahkan, politikus Madani cuba menyolek kegagalan mereka menunaikan janji dengan 1,001 alasan murahan,” tegasnya.

Sementara kelemahan keempat menurut kenyataan itu lagi adalah merujuk kepada persoalan mengapa hanya Sabah Sarawak dikecualikan penyasaran subsidi tersebut? 

“Apakah hanya di Semenanjung Malaysia sahaja terdapatnya ketirisan subsidi? Secara kebetulan, Sabah Sarawak akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun mendatang ini. Apakah formula Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu akan berulang?” soal Profesional Istiqamah.

Kenyataan itu berkata, sebenarnya sebahagian besar rakyat memahami kepentingan mengelakkan kebocoran subsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya. 

“Cuma rakyat cukup kecewa dengan sikap tidak tahu malu oleh politikus kerajaan yang enggan mengakui kelemahan mereka.

“Bukan itu sahaja, langkah dalam menampung kebarangkalian kenaikan harga barang juga dilihat tidak memadai,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya menumpukan sebaiknya terhadap usaha penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang kebocoran subsidi. 

“Namun sehingga saat ini, langkah tersebut tidak begitu menjadi keutamaan. Apakah kerajaan telah mempertingkatkan keupayaan aset, tenaga kerja dan strategi agensi penguatkuasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi?” soalnya.

Kenyataan itu turut menegaskan, kenaikan diesel juga sudah pasti akan meningkatkan kadar inflasi sebagaimana telah diramalkan RHB Investment Bank. 

“Namun pada kadar sejauh mana berlaku peningkatan inflasi adalah bergantung pada tindak balas pasaran. 

“Oleh sebab itu kerajaan harus membuat langkah persediaan khususnya buat rakyat dalam menahan gelombang kenaikan inflasi akan datang. Apakah bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan ditambah?” soalnya lagi.

Mengulas lanjut, Profesional Istiqamah berkata, dalam usaha rasionalisasi subsidi, kerajaan sepatutnya dari awal meneliti usaha penambahan sumber kewangan negara dengan langkah yang tepat. 

“Hal ini adalah bagi memastikan kerajaan berupaya membantu ekonomi rakyat di bawah. Namun begitu, kerajaan telah melaksanakan langkah berbahaya apabila terus menggunakan sistem SST yang tidak telus.

“Menerusi pertambahan sumber kewangan, kerajaan akan mampu untuk meningkatkan bantuan subsidi kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan serta meningkatkan peruntukan kepada sektor penting negara seperti sektor kesihatan dan pendidikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -