‘Sedih kenang beban ditanggung rakyat’

Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sedih saya mengenangkan bebanan yang ditanggung rakyat dek pengumuman kerajaan mengenai penetapan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter bermula hari ini.”

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian mengulas isu penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel bersasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

- Advertisement -

“Saya mendidik diri agar sentiasa prihatin dengan keluhan rakyat dan itu yang saya terjemahkan ketika memegang tanggungjawab dan harapan rakyat sebagai Perdana Menteri.

“Langkah PH-BN ini sekadar bukti menunjukkan mereka tidak peka terhadap keluhan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya adalah amat tinggi dan tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah tinggi. 

“Peringatan saya di Parlimen supaya pelaksanaan penyasaran subsidi langsung tidak diendahkan. Sedih di hati bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat,” tegasnya.

Tambah Muhyiddin, kenaikan harga diesel secara mendadak ini akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelusuk negara dan menyebabkab kesan gandaan (multiplier effect) kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain. 

Beban ini jika ditaksir, menurut beliau, mungkin kosnya kepada rakyat adalah jauh lebih besar daripada RM4 bilion yang dapat dijimatkan dari penyasaran subsidi ini.

“Apakah ini berbaloi? Oleh kerana sistem ekonomi negara tidak efisien dan gagal diurus dengan baik oleh pucuk pimpinan kerajaan, maka rakyat akan menghadapi kesulitan hidup yang lebih teruk,” tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu turut menegaskan, penyasaran subsidi diesel tanpa langkah komprehensif untuk menampan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat adalah satu keputusan buruk yang dibuat oleh kerajaan dan kesannya akan dirasai serta merta. 

“Ini hanya permulaan. Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat akan lebih terbeban apabila kerajaan menarik balik subsidi RON95 tidak lama lagi,” katanya. –HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -