Rakyat bimbang petrol turut naik harga

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Penyasaran subsidi minyak kerajaan tidak seharusnya menjadikan rakyat marhaen sebagai mangsa keadaan.”

Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata,  susulan dasar kerajaan yang menaikkan harga diesel pada malam tadi, rakyat sudah mula mencongak nasib mereka jika harga petrol juga sama dinaikkan. 

- Advertisement -

 “Jika diunjurkan apa yang kerajaan buat dalam dasar diesel kepada dasar petrol akan datang, kita akan hadapi masa depan yang perit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan memperkenalkan sistem kawalan diesel subsidi yang membolehkan kenderaan tertentu membeli minyak pada harga murah tetapi sebahagian besar kenderaan lain terpaksa membeli pada harga mahal.

Katanya lagi, kerajaan mengambil jalan penyelesaian separuh masak dengan bantuan Budi Madani (BUDI) iaitu pemberian tunai RM200 kepada pengguna diesel yang layak dan reaksi daripada pengguna kenderaan diesel rata-rata yakin jumlah itu tidak mencukupi.

“Kerajaan mungkin menganggap sesetengah industri logistik sebagai ibu kepada segala kos. Kononnya, apabila sesetengah kenderaan mendapat minyak murah, maka harga semua barang tidak naik. 

“Namun dalam dunia sebenar, semua industri umumnya ada pengangkutan barang sendiri. Dasar subsidi untuk kenderaan terpilih menjejaskan tabiat operasi semua industri.

“Kerajaan seolah-olah memaksa para peniaga mengubah sistem mereka secara tiba-tiba.

“Armada Bersatu Malaysia yakin jika dasar sebegini dibuat dalam harga petrol, malapetaka besar akan menimpa rakyat. Petrol bukan sahaja untuk peniaga malah untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Tidak hairan jika rakyat kelak terpaksa mengubah tabiat berbelanja secara tiba-tiba,” jelasnya.

Beliau menyatakan sebelum ini, Perdana Menteri seolah-olah mahu berperang dengan golongan maha kaya manakala Menteri Ekonomi pula ada formula untuk golongan bawahan.

“Kita tidak lihat ‘falsafah’ atau ‘mekanisme’ tersebut  dalam dasar diesel. Barangkali Perdana Menteri berfikiran pemilik syarikat logistik bukan maha kaya,” ujarnya.

Beliau menyatakan, jika golongan maha kaya pemilik firma logistik mengalami kenaikan kos minyak, hanya keuntungan mereka yang akan berkurangan yang tidak membawa mereka kepada gulung tikar.

Tambahnya, sudah pasti menjadi kesalahan kepada syarikat logistik jika mereka memindahkan kenaikan kos kepada kilang, sedangkan ia  disebabkan oleh kurang efisyen dalam operasi mereka.

“Armada Bersatu Malaysia menggesa agar kerajaan mengkaji semula mekanisme terhadap Sistem Kawalan Diesel Subsidi kerana ianya semakin membebankan rakyat akibat kos sara hidup yang akan meningkat. 

“Ini jelas menunjukkan ketidakcekapan kerajaan dengan memperkenalkan sistem PADU dan sekarang pula BUDI Madani yang jelas tidak efisien. 

“Kerajaan harus lebih prihatin dalam memberikan bantuan kepada rakyat yang rata-ratanya melihat ianya tidak mencukupi dan tidak berpatutan. 

“Jangan mangsakan rakyat hanya kerana pelaksanaan dasar Madani yang separuh masak dan tempang,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -