Protes majlis sambutan kemerdekaan AS di Malaysia

Tun Faisal (tengah) dalam perhimpunan Protes Senyap Sambutan Kemerdekaan Amerika Syarikat, di Kuala Lumpur pada hari ini, 10 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Saya difahamkan pada hari ini akan ada majlis makan malam yang diadakan bagi menyambut kemerdekaan negara Amerika Syarikat di ibu negara.”

Mantan Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sehubungan itu suatu perhimpunan protes telah diadakan di bagi mengecam penglibatan kerajaan AS dalam genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

- Advertisement -

“Kerajaan AS telah membekalkan senjata kepada negara haram Zionis Israel dalam membunuh ramai rakyat Palestin,” katanya ketika ditemui Harakahdaily dalam perhimpunan Protes Senyap Sambutan Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS), di hadapan Hotel Mandarin Oriental, di sini, hari ini.

Menurut beliau, protes senyap hari ini merupakan usaha sama antara gerakan Boycott Divestment Sanctions (BDS) dengan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) sebagai langkah bersolidariti bersama-sama rakyat Palestin.

Tambah beliau, usaha memboikot segala barangan negara haram Israel juga telah dilakukan oleh majoriti rakyat negara ini sebagai protes terhadap kezaliman negara haram tersebut.

“Saya difahamkan pada hari ini akan ada makan malam yang diadakan bagi menyambut kemerdekaan negara AS itu sendiri.

“Maka, protes senyap pada hari ini bagi menunjukkan AS dan negara haram Israel kerana masih lagi meneruskan pembunuhan terhadap rakyat Palestin.

“Kita nak tunjukkan terus bahawa majoriti rakyat negara ini adalah bersama-sama dengan rakyat Palestin itu sendiri,” tegasnya.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi; Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard); dan Pegawai Media Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Nur Hafizah Shamsudin.

Mengulas lanjut, Tun Faisal menyatakan, protes senyap ini merupakan lanjutan daripada protes-protes sebelum ini yang juga menentang kezaliman negara haram Israel.

Kata beliau lagi, isu sebegini tidak seharusnya dibiarkan memandangkan sudah ramai rakyat Palestin menderita daripada kezaliman tersebut.

“Jadi kita sama sama takkan berhenti menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam apa jua keadaan,” katanya.

Terdahulu, Tun Faisal dipecat daripada jawatan Timbalan Ketua Umno pada Januari, 2023 sebelum Bersatu pada 9 Julai tahun yang sama. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -