Prestasi wakil rakyat penentu sokongan seterusnya

- Advertisement -

JEMPOL: Prestasi ditunjukkan wakil rakyat PAS yang telah diberi mandat oleh rakyat pada masa ini akan menentukan sama ada parti akan mendapat sokongan dari rakyat pada pilihan raya seterusnya.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, perkara itu menuntut agar wakil rakyat PAS sentiasa menjaga prestasi gerak kerjanya dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Menurut beliau, hanya jika wakil rakyat sedia ada menunjukkan prestasi yang baik dalam perkhidmatan membolehkan PAS menambah lagi bilangan kerusi atau mempertahankan kemenangan sedia ada.

“Kita bukan sekadar nak menawan Parlimen Jempol. Kalau kami di Melaka bukan sekadar kita nak menang di Parlimen Tangga Batu dan Parlimen Jasin, tapi kita kalau boleh kita nak ambil alih negeri Melaka.

“Kita di Negeri Sembilan bukan sekadar nanti PRU16 nak jadi pembangkang, kalau boleh kita nak menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sembilan itu sendiri,” katanya.

Untuk mencapai perkara itu kata beliau, rahsianya ialah dengan wakil rakyat sedia ada mempamerkan kepada masyarakat dan para pengundi prestasi yang cemerlang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata demikian sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Jempol yang berlangsung di Muasasah Darul Su’ada, di sini kelmarin.

Tambah Bakri, tahun pertama sebagai wakil rakyat adalah tahun sangat penting yang menjadi ukuran kepada rakyat dalam menilai keupayaan pilihan mereka itu.

“Kalau kita gagal di tahun pertama, penggal pertama, orang tidak akan percaya lagi kepada parti kita. (Kata rakyat) ‘Aku dah bagi dia (kemenangan di DUN) Serting dia tak buat apa pun’.

“Tetapi kalau (ADUN PAS) Serting berprestasi, di mana pun calon-calon kita letak dalam Jempol ini, sama ada di Jeram Padang, di Bahau, di Palong, orang akan berikan kepercayaan,” katanya.

Jelasnya, apabila seseorang wakil rakyat PAS itu menunjukkan prestasi yang baik di sesuatu kerusi telah dimenangi, maka pengundi di kerusi-kerusi lain turut mendambakan kawasan mereka ditadbir PAS.

Selain itu katanya, jentera parti harus berfungsi bagaikan Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) yang menghubungkan rakyat dengan wakil rakyat PAS.

“Sebab itu saya di Tangga Batu, saya panggil semua PAS Cawangan, saya buat satu pertemuan. Saya kata saya mahu setiap Cawangan ini mesti berperanan sebagai JPKK.

“Sebab struktur kita sebagai pembangkang kita tak punya JPKK, tak punya Tok Sidang, kita tak punya Penghulu. Tak ada. Maka jika kita mahu wakil rakyat kita berprestasi, maka cawangan kita mestilah berperanan sebagai JPKK.

“Jadi saya kalau ada orang sakit (pemimpin) Cawangan dulu pergi. Dulu dia pergi sebagai Cawangan PAS, tapi kali ni dia mendekati masyarakat sebagai wakil kepada wakil rakyat,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama Bakri turut melancarkan Dana Pilihan Raya PAS Kawasan Jempol sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.

Selain itu, sebanyak 29 anugerah telah disampaikan dalam majlis tersebut bagi meraikan pencapaian para amilin dan ahli melibatkan lapan penerima Anugerah Jasamu Dikenang; lima penerima Anugerah Guru PASTI Terbilang.

Ia termasuk juga 12 penerima Anugerah Ahli PAS Istiqamah; tiga lagi melibatkan calon SPM yang mendapat keputusan cemerlang sementara Cawangan Kampung Bayai pula menerima Anugerah Cawangan Terbaik.

Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Jempol, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa yang juga ADUN Serting dan turut dihadiri oleh Setiausaha PAS Negeri Sembilan, Mohd Nazir Ramlan. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -